imf-africa

IMF, Bank Dunia Anjur Mesyuarat Pertama Di Afrika Dalam Tempoh 50 Tahun

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva menyeru agar negara-negara kaya memberikan lebih banyak sokongan kepada negara membangun yang dibebani hutang.

Kenyataan itu disebutkan ketika beliau membuka mesyuarat IMF-Bank Dunia pertama di bumi Afrika dalam tempoh 50 tahun semalam.

Rundingan selama seminggu di bandar Marrakesh di selatan Maghribi itu diadakan ketika IMF dan Bank Dunia menghadapi gesaan untuk melakukan pembaharuan untuk membantu negara-negara yang terdedah menangani kemiskinan dan perubahan iklim dengan lebih baik.

Pemberi pinjaman global secara tradisinya mengadakan perhimpunan tahunan menteri kewangan dan gabenor bank pusat di luar ibu pejabat mereka di Washington setiap tiga tahun.

Bandar Marrakesh sepatutnya menjadi tuan rumah pada 2021, namun persidangan itu ditangguhkan dua kali akibat penularan wabak Covid yang lalu.

Gempa bumi kuat yang mengorbankan hampir 3,000 orang di wilayah selatan Marrakesh bulan lepas turut mengancam untuk menggagalkan perhimpunan ini sekali lagi.

IMF dan Bank Dunia kali terakhir mengadakan mesyuarat mereka di Afrika pada 1973, apabila Kenya menjadi tuan rumah dan beberapa negara masih di bawah pemerintahan penjajah.

Setengah abad kemudian, benua itu menghadapi pelbagai cabaran daripada konflik kepada siri rampasan kuasa tentera, kemiskinan yang tidak putus-putus serta bencana alam.

“Membawa mesyuarat ke Afrika, sekali lagi, secara simbolik dan secara substantif sangat penting,” kata Georgieva pada pertemuan dengan anggota organisasi masyarakat sivil.

Beliau menyatakan bahawa benua itu sedang bergelut dengan masalah “sangat serupa” seperti 50 tahun lalu, termasuk inflasi yang tinggi dan “pergolakan politik di banyak tempat”.

“Banyak negara berada di bawah beban hutang yang boleh memusnahkan mereka dan kami sangat berharap pertemuan itu akan menjadi tempat untuk membina lebih kepercayaan di kalangan negara. Kita semua memerlukan satu sama lain,” tambahnya.

IMF dan Bank Dunia memerlukan “lebih kapasiti” untuk menyokong negara yang memerlukan bantuan, termasuk menyediakan pinjaman tanpa faedah “pada skala yang lebih besar”, kata Georgieva.z

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *