pertamina-indon-oil

Indonesia Pertimbangkan Pembelian Minyak Rusia Berikutan Lonjakan Harga Bahan Api

Presiden Indonesia Joko Widodo sedang mempertimbangkan untuk menyertai India dan China dalam membeli minyak Rusia bagi mengimbangi tekanan yang semakin meningkat akibat peningkatan kos tenaga, lapor Financial Times hari ini.

“Kami sentiasa memantau semua pilihan. Jika ada negara (dan) mereka memberikan harga yang lebih baik, sudah tentu itu pilihannya,” kata Jokowi dalam temu bual dengan Financial Times ketika ditanya sama ada Indonesia akan membeli minyak dari Rusia.

Awal bulan ini, Jokowi telah menaikkan harga bahan api bersubsidi sebanyak 30 peratus dan berkata bahawa kenaikan harga itu adalah “pilihan terakhirnya” berikutan tekanan fiskal.

Tindakan beliau itu mencetuskan bantahan di seluruh negara yang mempunyai populasi 270 juta orang penduduk.

Sebarang langkah untuk membeli minyak mentah Rusia pada harga melebihi had yang dipersetujui oleh negara G7 berisiko menyebabkan Indonesia dikenakan sekatan oleh AS.

Pada Ogos, Menteri Pelancongan Sandiaga Uno berkata bahawa Indonesia telah ditawarkan minyak mentah Rusia pada diskaun 30 peratus.

Oleh itu, syarikat minyak negara Indonesia, Pertamina berkata ia sedang mengkaji risiko untuk membeli minyak dari Rusia.

Indonesia, pemilik ekonomi terbesar Asia Tenggara telah mencatatkan kadar inflasi tahunan 4.69 peratus pada Ogos, melebihi julat sasaran bank pusat 2 hingga 4 peratus untuk tiga bulan berturut-turut, disebabkan oleh harga makanan yang tinggi.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *