ftx-crypto

Krisis Kecairan, Dakwaan Salah Urus Dana, Syarikat Kripto FTX Daripada ‘Hero ke Zero’

Binance mengabaikan rancangannya untuk menyelamatkan syarikat pertukaran mata wang kripto FTX milik Sam Bankman-Fried, sehari selepas pusat perdagangan kripto terbesar dunia itu menyatakan persetujuan untuk membeli FTX yang sedang mengalami krisis kecairan.

“Hasil daripada pemeriksaan ketekunan korporat, serta laporan berita terkini mengenai salah urus dana pelanggan dan pendakwaan pihak penyiasatan AS, kami telah memutuskan untuk tidak akan meneruskan potensi pengambilalihan FTX.com,” kata Binance dalam satu kenyataan semalam.

Pemilik FTX, Bankman-Fried pada Rabu memberitahu pelabur bahawa syarikat memerlukan dana sehingga AS$8 bilion selepas dibanjiri permintaan pengeluaran daripada pelanggan susulan spekulasi kegagalan perjanjian pemerolehan itu.

Spekulasi itu didorong oleh tindakan pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) memperluaskan penyiasatan terhadap FTX, termasuk meniliti produk pinjaman mata wang kripto serta pengurusan dana pelanggan.

Kegagalan perjanjian pemerolehan itu juga berlaku beberapa bulan selepas kejatuhan syarikat-syarikat kripto berprofil tinggi dan terkenal seperti pemberi pinjaman Celsius Network dan dana lindung nilai Three Arrows Capital.

Ditengah-tengah kegawatan pasaran kripto yang lalu, Bankman-Fried berjaya membina reputasi sebagai penyelamat dengan memberi sokongan kecairan kepada syarikat-syarikat yang sedang bergelut dengan tunai, termasuk pemberi pinjaman BlockFi.

Bagaimanapun, keputusan itu mula memakan diri apabila syarikat mula mengalamai kekurangan tunai untuk memenuhi permintaan pengeluaran secara besar-besaran, sekali gus membawa kepada penyiasatan yang lebih mendalam.

Kebimbangan terhadap kemungkinan jatuhnya FTX dan Alameda Research, firma perdagangan aset digital yang turut dikawal oleh Bankman-Fried telah menyebabkan bitcoin dan aset-aset berkaitan kripto mengalami kejatuhan mendadak sejak dua hari lalu.

Fasa terbaharu penjualan kripto kali ini adalah lebih membimbangkan kerana “bilangan entiti dengan penyata kewangan yang lebih kukuh yang dilihat dapat menyelamatkan mereka yang mempunyai modal rendah dan leverage tinggi semakin mengecil dalam ekosistem kripto”, kata JPMorgan dalam notanya semalam.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *