dolar-euro-ukraine

Krisis Ukraine Meletakkan Prestasi Mingguan Euro Di Landasan Terburuk Dalam Dua Tahun

Euro menunju minggu terburuk berbanding dolar dalam hampir dua tahun susulan peperangan di Ukraine dan prospek harga komoditi tinggi sehingga berpotensi mengheret jatuh unjuran pertumbuhan ekonomi Eropah.

Setakat jam 9.45 malam, EUR/USD didagang sekitar $1.0930, jatuh lebih 130 pips atau 1.21%, angka terendah sejak Mei 2020.

Penurunan itu didorong oleh laporan yang mengatakan bahawa Loji kuasa nuklear Zaporizhzhia Ukraine telah terbakar selepas serangan tentera Rusia.

Berbanding dolar Aussie, euro telah jatuh ke paras terendah empat tahun, manakala susut ke harga terendah sejak Julai 2016 berbanding pound sterling.

Tentera Rusia terus mengepung dan menyerang bandar-bandar Ukraine, pada hari kesembilan pencerobohan mereka, termasuk Mariupol, pelabuhan utama di timur yang telah diserang hebat.

“Perang ini akan memusnahkan Ukraine. Bagi Rusia, implikasi jangka pendek dan jangka panjang pasti akan menjejaskan ekonomi. Tetapi negara EU juga akan menjadi antara yang paling banyak terkena sekatan ini,” kata penganalisis di ING.

Para penganalisis juga berkata kesan lonjakan harga tenaga dan gas boleh menjejaskan pemulihan penggunaan industri dan swasta yang telah pun dijangka akan berlaku susulan pelonggaran sekatan Covid-19.

Kesan itu juga berkemungkinan akan memperlahankan pengetatan dasar Bank Pusat Eropah.

“Pada mesyuarat ECB minggu depan, sebarang tanda-tanda kenaikan kadar berkemungkinan besar tidak akan diumumkan,” tambah mereka.

Berbeza dengan Fed yang mana diyakini akan menaikkan kadar faedahnya buat pertama kali sejak krisis pandemik pada mesyuarat 15-16 Mac ini.

Malah, Pengerusi Fed Powell juga mengulangi kenyatannya bahawa beliau akan menyokong kenaikan awal kadar faedah sebanyak 0.25%.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *