lambo-factory

Lamborghini Telah Menjual Seluruh Pengeluaran Keretanya Sehingga 2024

Pengeluar kereta sport Itali, Lamborghini telah pun menjual keseluruhan pengeluaran sehingga awal 2024, kata CEO Stephen Winkelmann hari ini.

Kenyataan itu menunjukkan bahawa permintaan barangan-barangan mewah tidak terjejas oleh ketidaktentuan ekonomi global.

Anak syarikat Volkswagen itu mendapat “permintaan tinggi” dan mempunyai pesanan meliputi 18 bulan ke hadapan, kata Winkelmann.

Pelanggan kaya dilihat berbondong-bondong membeli jenama itu walaupun berlakunya kejatuhan kewangan global akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Hal ini mungkin disebabkan oleh kecantikan dan prestasi kereta itu di kalangan pengguna, jelas Winkelmann.

Tempoh masa pesanan yang lama pula adalah akibat daripada kekurangan komponen, terutamanya cip yang diperlukan untuk model elektrik baharu.

Lamborghini merancang versi hibrid bagi setiap modelnya menjelang 2024 dan model elektrik sepenuhnya pertama pada separuh kedua dekad ini.

Perubahan ini adalah “banyak dalam hanya dua tahun” dan syarikat sedang sedaya upaya melakukan “apa yang kami mampu secepatnya bagi memastikan semua perkara dikemas kini dan berjalan dengan cara yang positif”, kata Winkelmann.

Lamborghini pada awal Ogos melaporkan rekod jualan dan keuntungan setengah tahun terbaik dalam sejarahnya.

Margin operasi pembuat kereta itu mencapai 32 peratus, manakala keuntungan operasi melonjak kepada €425 juta (RM1.9 bilion) terhadap 5,090 kenderaan yang dijual.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *