Malaysia Hantar Nota Diplomatik Tolak Tuntutan Filipina Terhadap Sabah

Boboi CTC
2 Min Read

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar mengesahkan akan menghantar nota diplomatik sebagai bantahan rasmi terhadap tuntutan terbaharu ke atas Sabah oleh pihak tertentu di Filipina. Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa langkah ini adalah prosedur biasa yang telah dilakukan berkali-kali sebelum ini bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Beliau menjelaskan bahawa tuntutan tersebut tidak mempunyai sebarang asas undang-undang yang kukuh kerana rakyat Sabah sendiri telah memilih untuk menyertai Malaysia. Keputusan tersebut telah dibuat secara sah melalui proses Suruhanjaya Cobbold dan dimeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang bersejarah.

Selain itu, pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai wilayah Malaysia yang sah dan berdaulat. Sebarang cubaan untuk mempertikaikan status ini dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan sejarah pembentukan persekutuan.

Senator Robin Padilla yang mengeluarkan kenyataan menggesa presiden membuat tuntutan kepada Sabah dan Malaysia.

Mohamad Hasan turut menyifatkan tindakan ahli politik Filipina yang membangkitkan semula isu ini sebagai strategi untuk mendapatkan “mileage” politik atau kepentingan peribadi. Beliau berpendapat isu tersebut sering digunakan untuk menutup kelemahan pentadbiran atau mengalih perhatian rakyat daripada krisis ekonomi dalaman.

Isu ini timbul susulan kenyataan Senator Robin Padilla yang menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr untuk menuntut semula Sabah kerana kekayaan sumber minyak dan gasnya. Gesaan tersebut dibuat ketika Filipina sedang berdepan dengan krisis petroleum dan kenaikan harga barang yang mendadak akibat konflik di Timur Tengah.

Walaubagaimanapun, Malaysia tetap tenang dalam mengendalikan isu ini dan percaya hubungan diplomatik dengan Filipina akan terus terpelihara. Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan ini bagi memastikan kepentingan dan kedaulatan wilayah Malaysia sentiasa dilindungi daripada sebarang ancaman luar.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *