petronas-oil

Malaysia Sokong Pemotongan Pengeluaran Kolektif Minyak Oleh OPEC+

Malaysia yang menganggotai Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+), bersetuju melaksanakan pemotongan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari berkuat kuasa pada November ini.

Sokongan ini disuarakan selepas Malaysia mengambil bahagian dalam Mesyuarat Menteri OPEC dan Bukan Opec ke-33 pada 5 Oktober lalu, di mana perikatan itu sebulat suara bersetuju dengan keputusan untuk mengurangkan pengeluaran.

“Negara-negara OPEC+ secara kolektif mengambil kira faktor-faktor yang merangkumi asas pasaran, khususnya untuk menangani ketidaktentuan dalam situasi bekalan dan permintaan minyak global,” kata Menteri Sementara di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Malaysia menyokong inisiatif lama OPEC+ dan pendekatan proaktif, termasuk dokumen kerjasama (DOC) yang ditandatangani pada 10 Disember 2016 yang menyatukan negara pengeluar minyak untuk mematuhi mekanisme yang teguh dalam menangani cabaran pasaran.

Memandangkan prospek ketidaktentuan yang berpanjangan, Datuk Seri Mustapa menambah bahawa Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan OPEC+ bagi memastikan kestabilan pasaran minyak global.

OPEC pada pertemuan 5 Oktober menyenaraikan 10 agenda, salah satunya menurun dan melaraskan pengeluaran keseluruhan sebanyak dua juta tong sehari daripada paras pengeluaran bulan Ogos, bermula pada November ini.

Keputusan pemotongan pengeluaran itu akan mengurangkan pengeluaran minyak mentah harian Malaysia sebanyak 27,000 tong kepada 567,000 tong sehari.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *