Mastercard Beli Syarikat Forensik Blockchain CipherTrace

Mastercard Beli Syarikat Forensik Blockchain CipherTrace

Mastercard bersetuju untuk mengambil alih blockchain analitik pemula CipherTrace yang dilihat sebagai isyarat terkini bagaimana syarikat-syarikat bes

Mastercard bersetuju untuk mengambil alih blockchain analitik pemula CipherTrace yang dilihat sebagai isyarat terkini bagaimana syarikat-syarikat besar semakin menunjukkan minat terhadap pasaran kripto.

Gergasi perkhidmatan pembayaran itu pada Khamis lalu berkata bahawa mereka telah membuat perjanjian untuk membeli CipherTrace dengan jumlah yang tidak didedahkan.

CipherTrace yang berpusat di Menlo Park, California, merupakan sebuah syarikat ‘forensik blockchain’ yang mengembangkan alat bagi membantu perniagaan dan penguatkuasa undang-undang membasmi transaksi mata wang digital yang tidak sah.

Pesaing syarikat itu merangkumi Chainalysis yang berpangkalan di New York dan syarikat pemula Elliptic di London.

“Aset digital berpotensi untuk memperbaharui perdagangan, dari tindakan harian seperti membayar dan dibayar hingga mengubah ekonomi, menjadikannya lebih inklusif dan cekap,” kata Ajay Bhalla, presiden siber dan perisikan di Mastercard, dalam satu kenyataan.

“Dengan pertumbuhan pesat ekosistem aset digital, perlu dipastikan ianya dapat dipercayai dan selamat,” jelas beliau.

Kebimbangan utama terhadap penggunaan bitcoin dan mata wang kripto lain adalah orang yang berurusan dengan mata wang ini tidak dikenali. Hal ini menjadikan aset digital sebagai mata wang pilihan bagi sebilangan penggodam dan penjenayah lain.

Walau bagaimanapun, blockchain adalah buku kira-kira umum bagi semua transaksi mata wang digital, dan perkhidmatan seperti CipherTrace menganalisis pergerakan dana untuk memastikan sama ada terdapat sebarang transaksi yang mencurigakan.

Mastercard berkata bahawa perjanjian itu akan membantu para pelanggannya melindungi diri mereka dan mematuhi peraturan ketika mereka mula menawarkan mata wang digital mereka sendiri tahun ini.

Sementara itu, pesaingnya Visa baru-baru ini mendedahkan lebih dari $1 bilion yang dibelanjakan oleh pengguna menggunakan kad pembayaran adalah berkaitan kripto.

CipherTrace dalam satu kenyataan pula berkata platformnya telah digunakan oleh beberapa bank dan pertukaran crypto terbesar di dunia.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: