Mazda-MX

Mazda Umum Rancangan Perbelanjaan EV, Bateri Bernilai AS$10.6b

Mazda Motor Corp Jepun pada Selasa melancarkan rancangan untuk membelanjakan sebanyak AS$10.6 bilion bagi peralihan kepada kenderaan elektrik.

Syarikat pembuat kenderaan dari Jepun itu juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk melabur dalam pengeluaran bateri.

Berdepan dengan dasar alam sekitar yang semakin ketat, kebanyakan gergasi-gergasi pembuat kenderaan telah membelanjakan sehingga berbilion dolar bagi meningkatkan pengeluaran bateri dan kenderaan elektrik (EV).

Mazda juga menaikkan sasaran jualannya untuk kenderaan EV kepada sehingga 40% daripada jumlah globalnya menjelang 2030.

Rancangan pelaburan Mazda itu menyusuli pengumuman daripada pesaing-pesaing domestiknya seperti Toyata dan Honda yang telah dilakukan pada tahun ini.

“Kami akan mempromosikan pelancaran penuh EV bateri dan mempertimbangkan untuk melabur dalam pengeluaran bateri. Kami menganggarkan nisbah EV Mazda dalam jualan global meningkat kepada julat antara 25% dan 40% pada 2030,” kata Mazda dalam satu kenyataan.

Pegawai eksekutif pengurusan kanan Akira Koga memberitahu pemberita pelaburan ¥1.5 trilion itu akan dibuat bersama rakan kongsinya dan akan digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan.

Koga enggan memberikan garis masa terperinci terhadap pelaburan yang dilakukan, sambil menambah ia bergantung pada kecepatan sektor EV menjadi popular.

Mazda juga berkata ia telah bersetuju untuk bekerjasama dengan tujuh syarikat, termasuk pembuat komponen elektrik Rohm Co, untuk bersama-sama membangunkan dan mengeluarkan unit pemacu elektrik.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *