mbsb bank

MBSB Pulangkan Wang Yang Dikeluarkan Secara Haram Oleh Sindiket Di Kota Kinabalu

Negara telah digemparkan dengan penahanan empat belas individu termasuk empat pekerja bank sejak 13 Jun lalu bagi membantu siasatan kes penipuan pengeluaran RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan tetap.

Penahanan tersebut dibuat selepas pihak polis menerima empat laporan daripada pemegang akaun dan kakitangan bank pada awal Jun di Petaling Jaya selepas mangsa menyedari pengeluaran wang tunai yang mencurigakan daripada akaun simpanan tetap mereka di Kota Kinabalu, Sabah.

“13 suspek ditahan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan seorang lagi ditahan di Padang Besar, Perlis,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

“Siasatan polis percaya pakatan sindiket ini telah dilakukan sejak tahun lalu,” ujar beliau.

Suspek yang terbabit difahamkan mempunyai kepakaran dalam memalsukan sistem biometrik pada kad pengenalan dan data milik mangsa dan masing-masing menerima pembayaran komisen sekitar RM100,000 sehingga RM240,000.

Susulan pendedahan tersebut, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meminta MBSB Bank Berhad membuat bayaran balik segera untuk pemegang akaun yang terjejas dengan kecurian tersebut.

BNM memandang serius isu pengeluaran tunai berskala besar tanpa kebenaran yang timbul daripada pakatan sulit pekerja institusi kewangan dengan pihak luar.

“Integriti individu yang bekerja di institusi kewangan adalah yang terpenting,” kata BNM.

Terbaharu, MBSB Bank Berhad dilaporkan telah memulangkan seluruh wang RM24.2 juta yang dicuri daripada empat akaun simpanan tetap pada 24 Jun.

“Keutamaan kami adalah keselamatan dan kepercayaan pelanggan kami. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.

“Kami telah memulangkan semua wang yang dikeluarkan secara haram daripada akaun pelanggan yang terjejas,” kata MBSB.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *