Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata agensi penguatkuasaan tidak memerlukan sebarang waran bagi menyerbu sektor perkilan
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata agensi penguatkuasaan tidak memerlukan sebarang waran bagi menyerbu sektor perkilangan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata ini kerana perkara itu tertakluk di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 14 Jan lepas.
Di bawah ordinan tersebut, pihak berkuasa boleh masuk untuk memeriksa dan memantau jika berlaku pelanggaran SOP di setiap premis tanpa memerlukan waran, jelas beliau ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan pematuhan SOP PKP di dua kilang sekitar Puchong dan Petaling Jaya semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia Chin Chee Seong dalam satu laporan berita tempatan yang mengatakan pasukan serbuan tidak menunjukkan sebarang surat rasmi atau waran semasa melakukan pemantauan.
Hamzah turut meminta sektor perkilangan agar tidak melakukan penipuan dengan beroperasi melanggar SOP PKP antaranya membenarkan bilangan pekerja melebihi kapasiti dan beroperasi melebihi waktu dibenarkan.
“Kita menerima banyak aduan daripada orang ramai dan minta majikan supaya jangan menipu. Dalam situasi negara kini, majikan perlu berkorban dan semua pihak perlu bekerjasama supaya wabak COVID-19 ini tidak menular,” katanya.
COMMENTS