Meta Platforms Inc hari ini berkata ia akan melepaskan 13 peratus tenaga kerjanya, atau lebih 11,000 pekerja, dalam salah satu pemberhentian terbesar
Meta Platforms Inc hari ini berkata ia akan melepaskan 13 peratus tenaga kerjanya, atau lebih 11,000 pekerja, dalam salah satu pemberhentian terbesar tahun ini.
Keputusan itu dibuat berikutan syarikat sedang bergelut dengan kos yang melambung tinggi dan pasaran pengiklanan yang lemah.
Pemberhentian beramai-ramai itu juga adalah yang pertama dalam sejarah 18 tahun Meta, mengikuti pembuangan ribuan pekerjaan di syarikat-syarikat teknologi utama lain seperti Twitter milik Elon Musk dan Microsoft Corp.
Penilaian syarikat teknologi yang memperoleh dorongan sepanjang pandemik telah berubah kepada kemelut pada tahun ini ditengah-tengah inflasi yang tinggi serta peningkatan kadar faedah yang pantas.
“Bukan sahaja perdagangan dalam talian kembali kepada arah aliran sebelumnya, tetapi kemelesetan makroekonomi, peningkatan persaingan dan kehilangan pengiklanan telah menyebabkan hasil kami jauh lebih rendah daripada yang saya jangkakan,” kata CEO Meta Mark Zuckerberg.
“Saya salah, dan saya bertanggungjawab untuk itu.” tambahnya.
Meta juga merancang untuk mengurangkan perbelanjaan dan melanjutkan pembekuan pengambilan pekerjanya sehingga suku pertama.
Bagaimanapun, ibu syarikat Facebook itu tidak mendedahkan cara penjimatan kos yang akan dilaksanakan.
Meta dilaporkan akan membayar 16 minggu gaji asas dengan dua minggu tambahan untuk setiap tahun perkhidmatan, serta semua baki masa berbayar, sebagai sebahagian daripada pakej pemecatan.
Selain itu, pekerja yang terjejas turut akan menerima saham mereka yang ditetapkan pada 15 November dan perlindungan penjagaan kesihatan selama enam bulan.
Pertaruhan yang mahal pada metaverse, perkongsian dunia maya, telah menyaksikan unjuran perbelanjaan Meta sebanyak AS$100 bilion untuk 2023.
Angka tersebut telah menimbulkan keraguan dikalangan pelabur yang semakin hilang sabar dengan pelaburan Zuckerberg yang dikatakan akan memakan masa 10 tahun untuk mula menuai hasil.
Selain itu, Meta juga sedang bergelut dengan persaingan sengit daripada TikTok dan perubahan privasi daripada Apple Inc.
COMMENTS