fb-meta

Meta Gagal Lagi, Jumlah Kerugian Mark Zuckerberg Kini Cecah AS$100b

Kekayaan Mark Zuckerberg menjunam sebanyak AS$11 bilion selepas Meta Platforms Inc. miliknya melaporkan pendapatan yang mengecewakan dua suku berturut-turut, menjadikan jumlah kerugian kekayaannya kepada lebih AS$100 bilion dalam masa 13 bulan sahaja.

Menurut indeks Bloomberg Billionaires, nilai bersih kekayaan Zuckerberg kini berada sekitar AS$38.1 bilion, satu penurunan yang besar daripada paras tertinggi AS$142 bilion pada September 2021.

Walaupun ramai orang terkaya di dunia telah melihat penyusutan kekayaan mereka pada tahun ini, CEO Meta itu menjadi satu-satunya individu yang mengalami kerugian terbesar dalam senarai tersebut,

Hasil pendapatan Meta jatuh 4.5% berbanding setahun lalu, penurunan dua suku tahunan berturut-turut selepas tidak pernah mencatatkan kemerosotan jualan sebelum 2022.

Sementara itu, platform media sosial itu menghadapi peningkatan kos berikutan ia perlu membiayai versi realiti mayanya.

Saham Meta dibuka 25% lebih rendah semalam di New York. Harga saham kini berada sekitar AS$100, terendah sejak 2016, berbanding kemuncak $382 sesaham.

“Saya dapati bahawa ramai orang mungkin tidak bersetuju dengan pelaburan ini,” kata Zuckerberg mengenai tumpuan syarikat pada metaverse.

Syarikat yang berpangkalan di Menlo Park menukar namanya daripada Facebook kepada Meta setahun yang lalu dengan Zuckerberg menekankan perubahan itu “pada asasnya penting untuk masa depan.”

Zuckerberg yang memegang lebih daripada 350 juta saham dalam Meta sebelum ini berada di tempat ketiga dalam indeks kekayaan Bloomberg, kini jatuh ke tangga ke-23.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *