elon-musk-twitter-takover

Musk Masih Diamkan Diri, Tinjauan Twitter Menunjukkan Musk Perlu Lepaskan Jawatan CEO

Saham Tesla merosot semalam selepas tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Elon Musk menunjukkan beliau harus meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter.

Tinjuan itu dilakukan berhubung kritikan sejak beberapa minggu lalu terhadap dasar penggunaannya, penggantungan beberapa wartawan terkemuka dan rekod penjualan terbesar dalam saham Tesla.

Musk bertanya kepada 122.1 juta pengikut Twitternya sama ada beliau harus melepaskan jawatan CEO Twitter, dan berjanji untuk mematuhi keputusan tinjauan pendapat itu walaupun berkata belum ada rancangan untuk mencari pengganti.

Beliau turut memberi amaran kepada mereka yang mengundi untuk “berhati-hati dengan apa anda inginkan”.

Keputusan undian yang tamat pada awal pagi tadi mencadangkan kira-kira 57.5% daripada 17.5 juta pengguna mahu Musk menyerahkan kawalan Twitter kepada orang lain.

Musk bagaimanapun masih berdiam diri sama ada dia akan kekal sebagai ketua Twitter beberapa selepas undian ditutup.

Pada akhir Oktober lalu, Musk menutup pembelian Twitter bernilai AS$44 bilion dan telah aktif menguruskan platform dan ibu pejabat syarikat di San Francisco sejak itu.

Pengurusan Musk bermula dengan beberapa siri kontroversi pemberhentian, peraturan kandungan dan penggantungan, termasuk beberapa wartawan terkemuka yang dituduhnya mengesan dan melaporkan lokasinya melalui pergerakan jet peribadinya.

Pemegang-pemegang saham Tesla pula semakin tidak senang dengan gangguan Musk di tengah-tengah rekod kemerosotan terbesar saham syarikat pembuat kereta tenaga bersih itu.

Pada hujung minggu lalu, Leo KoGuan, seorang jutawan yang berpangkalan di Singapura dan salah seorang pelabur tunggal terbesar di Tesla, memperbaharui gesaannya agar Musk berundur sebagai CEO Twitter selepas menuduhnya “meninggalkan” Tesla.

“Sebagai peminatnya, saya melabur kerana Elon. Sudah tentu, saya lebih suka Elon menjadi CEO tetapi dia meninggalkan Tesla”, tambahnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *