Nikon Umum Penutupan Cawangan Di Malaysia Selepas 20 Tahun Beroperasi

Nikon Umum Penutupan Cawangan Di Malaysia Selepas 20 Tahun Beroperasi

Krisis Covid-19 telah menyebabkan banyak syarikat termasuk syarikat-syarikat gergasi di dunia mengecilkan operasi bagi mengurangkan kos dan dipercaya

Krisis Covid-19 telah menyebabkan banyak syarikat termasuk syarikat-syarikat gergasi di dunia mengecilkan operasi bagi mengurangkan kos dan dipercayai turut berlaku kepada Nikon Corporation.

Nikon (Malaysia) Sdn. Bhd., syarikat milik Nikon Corporation Jepun yang berpusat di Malaysia sejak April 2001 telah mengumumkan penutupan operasi perniagaan mereka bermula 1 Januari 2021.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Nikon Malaysia berkata 31 Disember 2020 merupakan tarikh terakhir syarikat ini akan beroperasi.

Kemudian, perniagaan dan produk-produk mereka akan diselia oleh rakan niaga tempatan, Futuromic Photo AV Sdn Bhd, yang mana akan menjalankan pelan pemasaran, jualan dan juga perkhidmatan selepas pembelian.

Selain daripada penutupan tersebut, Nikon Malaysia juga mengumumkan bahawa QES (Asia Pasifik) Sdn Bhd akan kekal menjadi pengedar yang sah terhadap produk-produk milik syarikat.

Kedua-dua syarikat, Futuromic dan QES telah menjadi rakan kongsi utama Nikon Malaysia sejak tahun 2003 dan 2009.

Pengumuman ini juga dikeluarkan dua minggu selepas Nikon Indonesia menghentikan operasinya secara rasmi pada 22 Oktober lalu.

“Nikon komited dan akan terus menyediakan produk dan perkhidmatan yang memenuhi kehendak dan keperluan para pelanggan di Malaysia dan di seluruh dunia,” jelas Nikon Malaysia dalam laman sesawang mereka.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: