Pembuat alat ganti kereta Kanada, Magna International Inc berkata mereka akan melabur AS$790 juta untuk membina tiga kemudahan pembekal baharu, dua daripadanya akan ditempatkan di kampus BlueOval City Ford Motor Co di Tennessee.
Perkembangan itu muncul ketika pembekal berlumba-lumba untuk memenuhi keperluan daripada pembuat kereta, dengan menambah kapasiti pengeluaran kenderaan elektrik mereka apabila permintaan untuk kenderaan mesra alam meningkat.
Kemudahan Magna akan menyokong pengeluaran trak elektrik generasi kedua Ford, kata syarikat Kanada itu dalam satu kenyataan.
Satu kemudahan di kampus Ford akan membuat penutup bateri trak sementara kilang kedua akan membuat busa poliuretana dan tempat duduk.
Kemudahan Magna ketiga di Lawrenceburg pula akan menghasilkan bingkai kenderaan, kata syarikat itu.
Ford pada Mac berkata ia merancang untuk membina sehingga 500,000 trak elektrik setahun di kompleks BlueOval City yang sedang dalam pembinaan.
Kompleks itu akan memasang beberapa versi pikap elektrik siri-F generasi baharu Ford, yang digelar dengan Project T3.
Pada Mei, pembuat kereta yang berpangkalan di Detroit itu turut melancarkan strategi bercita-cita tinggi untuk meningkatkan jualan EV secara menguntungkan walaupun ia menghadapi tindakan mencabar untuk mengurangkan kos sebanyak AS $7 bilion.
Pengeluaran di ketiga-tiga kilang yang diumumkan tersebut dijadualkan bermula pada 2025 dan dijangka mewujudkan sehingga 1,300 pekerjaan.