Pemulihan Industri Penerbangan Asia Dijangka Lebih Perlahan

Pemulihan Industri Penerbangan Asia Dijangka Lebih Perlahan

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam satu kenyataan berkata perjalanan udara antarabangsa di rantau Asia mungkin akan mengambil mas

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam satu kenyataan berkata perjalanan udara antarabangsa di rantau Asia mungkin akan mengambil masa sehingga 2024 untuk mencapai tahap sebelum virus, setahun selepas trafik global dijangka dapat mencapainya.

Jangkaan ini seiring dengan unjuran firma perunding Energy Aspects yang melihat penggunaan bahan api pesawat hanya akan mencapai jumlah sebelum pandemik pada 2023 atau 2024.

Situasi ini mencerminkan kesukaran industri penerbangan Asia untuk memberi sokongan padu kepada syarikat-syarikat penapisan minyak serantau sepanjang tempoh tersebut.

Hal ini didorong oleh kadar vaksinasi yang rendah di kebanyakan negara Asia, termasuk cabaran yang dicetuskan oleh penularan pantas varian delta serta sekatan pergerakan berkala yang sedang berlangsung.

Minggu ini, ekonomi terbesar di Asia Tenggara, Indonesia mula mengatasi jumlah kes harian di India, menjadikannya pusat baharu bagi penularan varian delta yang mudah berjangkit.

Malaysia turut berdepan masalah untuk membendung penularan baharu, Korea Selatan pula mengenakan sekatan paling ketat setakat ini, manakala Jepun bersedia untuk menganjurkan Sukan Olimpik tanpa penonton.

Berbeza dengan pemulihan sektor penerbangan di Amerika Syarikat dan Eropah yang dilihat bergerak pantas, menyaksikan permintaan tinggi pada musim cuti.

Pengarah jualan serantau Jepun dan Asia Pasifik di firma analitik penerbangan OAG, Mayur Patel berkata permintaan yang tinggi di Rantau Amerika Utara dan Eropah berlaku berikutan Kesatuan Eropah (EU) melonggarkan keperluan kuarantin dan sekatan.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: