Pilihan Raya Presiden Perancis: Apa Perlu Anda Tahu?

Pilihan Raya Presiden Perancis: Apa Perlu Anda Tahu?

Umum sudah mengetahui pada 24/04/2017 pusingan pertama pilihan raya presiden Perancis akan diadakan. Presiden sekarang Francois Hollande daripada Part

Umum sudah mengetahui pada 24/04/2017 pusingan pertama pilihan raya presiden Perancis akan diadakan. Presiden sekarang Francois Hollande daripada Parti Sosialis akan tamat penggal perkhidmatan tahun ini. Pada pilihan raya presiden Perancis 2012, Hollande mendahului pusingan pertama pengundian dengan 28.63% undian, menewaskan Nicolas Sarkorzy 27.18% dan lain-lain calon. Kemudian pada pusingan kedua, Hollande menang dengan majoriti 51.64% menewaskan Sarkozy.

 

5 penjuru pusingan pertama

Tahun ini 5 calon utama telah bertanding iaitu Emmanual Macron, Marine La Pen, Jean-Luc Melenchon, Francios Fillion, dan Benoit Hamon. 5 orang calon presiden ini mempunyai karisma dan personaliti tersendiri. Mengapa kita sebagai pedagang mata wang perlu ambil tahu serba sedikit tentang pilihan raya presiden Perancis? Jawapannya adalah, terdapat calon yang pro-EU dan anti-EU dalam kempen pilihan raya kali ini. Gambaran awal pilihan raya kali ini telahpun diulas oleh saudara Firdaus Ali di https://www.ctc.fm/le-pen-dan-frexit-satu-lagi-bencana-kepada-kesatuan-eropah/.

 

Social Media Opinion Index

Tinjauan kali terakhir pada 21/04/2017 oleh Social Media Opinion Index, mendapati Macron mendahului dengan 24% diikuti oleh La Pen (21.5%), Melenchon (19.5%), Fillon (20%) dan Hamon (7%). Jika tinjauan ini benar, pada pusingan pertama undian sebenar nanti adalah merupakan perebutan 4 penjuru kerana calon paling kurang popular agak jauh ketinggalan di belakang. Sebelum pergi lebih jauh, mari kita kenal lebih lanjut calon-calon presiden Perancis kali ini.

 

Marine La Pen (anti-EU)

Calon pertama merupakan seorang wanita daripada parti Front National, Marine Le Pen. Beliau merupakan anak kepada pengasas parti Front National, dan merupakan seorang pengamal undang-undang. La Pen mahukan Frexit dan mahu Perancis menggunakan mata wang tradisinya. Beliau juga berjanji akan mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada pekerja asing serta mengenakan cukai import yang lebih tinggi bagi meningkatkan permintaan domestik. Jumlah yang dijangkakan dapat dijimatkan daripada isu imigresen adalah EUR60 Bilion. Setakat ini La Pen di tempat kedua dalam tinjauan awal yang dilakukan.

 

Emmanuel Macron (pro-EU)

Calon yang sedang mendahului tinjauan awal adalah Emmanuel Macron daripada Parti En Marche!. Sebelum ini beliau adalah seorang Business Banker dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi, Industri dan Teknologi Digital semasa era Francois Hollande. Macron mengisytiharkan dirinya calon yang seimbang iaitu tidak berhaluan kanan atau kiri. Beliau menjanjikan akan memotong perbelanjaan awam sebanyak EUR60 Bilion dengan memberhentikan 120 ribu orang. Macron juga berjanji akan membuat pelaburan bina insan sebanyak EUR50 Bilion dalam melatih tenaga kerja muda yang menganggur. Selain itu beliau juga akan merangsang perniagaan dengan memotong cukai koperat dan perumahan. Macron seorang yang sangat pro-EU.

 

Fancois Fillon (pro-EU)

Calon seterusnya adalah Francois Fillon daripada Parti Les Republicains. Fillon merupakan calon berhaluan kanan atau bersifat konservatif. Ketika ini Fillon berada di tempat ketiga tinjauan awal yang terakhir. Dalam janji pilihan rayanya, Fillon berjanji akan menyemak semula 35 jam waktu bekerja seminggu dan memanjangkan tempoh persaraan wajib daripada 62 ke 65 tahun. Pengurangan cukai koperat juga telah dijanjikannya. Fillon juga mahu mengurangkan perbelanjaan awam hingga EUR100 Bilion dengan memotong 500 ribu pekerja sektor awam Perancis. Fillon berang dengan banyak kekangan daripada undang-undang EU yang banyak mengehadkan potensi pengembangan ekonomi Perancis.

 

Jean-Luc Melenchon (anti-EU bersyarat)

Berada di tempat ke-4 tinjauan awal pula adalah Jean-Luc Melenchon daripada Parti La Fance Insoumise. Merupakan calon berhaluan kiri, beliau mahukan TAFTA (perjanjian perdagangan bebas Perancis-AS) ditamatkan. Dengan menjanjikan perubahan undang-undang buruh, beliau mahu menaikkan purata gaji minima bulanan kepada EUR1300 sebulan serta fokus diberikan kepada sektor pembuatan domestik. Dasar percukaian dalaman juga akan dirombaknya jika menang kelak dengan meningkatkan cukai yang lebih tinggi kepada golongan berpendapatan paling tinggi.

 

Benoit Hamon (anti-EU bersyarat)

Calon yang paling kurang popular adalah Benoit Hamon daripada Parti Socialiste. Berhaluan sosialis, beliau mahu penetapan gaji minima asas EUR600. Hamon seorang yang pro tenaga boleh diperbaharui dan berjanji akan melabur EUR1 Trilion dalam teknologi hijau dan bandar. Selain itu dalam janji pilihan rayanya, Hamon akan membuat mengenakan cukai bagi kekayaan yang dijanakan robot.

 

Mengapa pasaran ternanti-nanti?

Selepas Jerman, Perancis merupakan kuasa ke 2 terbesar ekonomi Eurozone. Boleh dikatakan Perancis merupakan salah sebuah negara batu asas Zon Ekonomi Tunggal Eropah. Jika calon anti-EU La Pen memenangi pilihan raya presiden kali ini, mata wang Euro ditakuti akan susut nilai dengan banyak kerana La Pen berjanji akan membuat referendum Frexit. Ketika UK dan EU masih lagi belum memuktamadkan rundingan Brexit, Frexit akan menambah lagi sengsara mata wang Euro.

 

Sesetengah penganalisis luar negara melabelkan pilihan raya Perancis kali ini adalah “Era Baru Perancis”. Ini mungkin disebabkan sentimen anti-EU yang semakin menebal dari Perancis. Ditakuti sentimen anti-EU ini akan merebak ke Jerman pula seterusnya menambah parah ekonomi Eurozone yang sememangnya rapuh. Paling awal Jerman akan mengadakan pilihan raya umum adalah pada bulan Ogos ini.

 

Apa kemungkinan yang akan berlaku?

Jika tiada calon yang memperoleh lebih 50% majoriti, pusingan kedua akan dijalankan pada 07/05/2017 pula dengan mengambil dua calon paling mendapat undi tertinggi. Jika kedua-dua calon yang mendapat undian tertinggi adalah daripada calon yang anti-EU ke pusingan kedua, pasaran akan dibuka dalam Risk Off Isnin nanti. Jika 1 calon anti-EU dan 1 calon pro-EU ke pusingan kedua, pasaran berkemungkinan besar dalam mood yang lebih seimbang. Manakala jika kedua-dua calon pro-EU ke pusingan kedua undian, Isnin nanti pasaran akan dibuka dengan mood Risk On dengan minat belian Euro yang mungkin kuat.

 

Pasaran dijangka lebih cenderung membuat belian dalam dagangan aset Safe Heaven seperti Yen, Swiss Franc, dan Emas jika berada dalam mood Risk Off ketika pembukaan pasaran Isnin nanti. Sentimen umum IMF kini adalah, jika La Pen berjaya menjawat jawatan Presiden nanti akan terdapat gangguan besar dalam pasaran kewangan yang dinyatakan salah seorang ahli IMF iaitu Lagarde Khamis lepas.

 

Adakah akan terbentuk Gap Isnin nanti?

Ya sememangnya berkemungkinan besar akan terdapat pembentukan Gap pada mata wang Euro, Swiss Franc, dan Emas. Bagi Gap Trader, adalah dinasihati supaya berhati-hati kerana ditakuti Gap yang terbentuk nanti adalah Runaway Gap. Pembentukan Gap ini berlaku kerana pasaran akan berada dalam ketidaktentuan yang tinggi sepanjang proses pengundian berlangsung.

 

Jika anda mempunyai posisi ketika pasaran ditutup hujung minggu, anda dinasihati memastikan akaun dagangan anda mempunyai Margin yang cukup bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran hujung minggu.

 

“Berdaganglah dengan bijak, tiada posisi dalam dagangan juga adalah satu posisi”

 

Penafian: Ini merupakan pandangan peribadi penulis secara kasar. Mungkin berbeza dengan pendapat majoriti secara amnya.

 

Wallahualam

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: