microsoft-activation-blizzard

Presiden Microsoft Yakin Dapat Membeli Activision Blizzard

Presiden Microsoft berkata syarikat itu yakin terhadap perbicaraan kesnya bagi membeli gergasi permainan Activision Blizzard selepas campur tangan oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

“Kami mempunyai keyakinan yang besar dalam kes kami,” kata presiden Microsoft Brad Smith semalam.

Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS pada minggu lalu telah menyaman Microsoft untuk menyekat pembelian AS$69 bilion ke atas syarikat pembuat permainan blockbuster “Call of Duty” dan “Candy Crush”.

EU telah melancarkan siasatan sama ada perjanjian itu akan menjadikan permainan popular eksklusif tersebut milik Microsoft, pembuat konsol Xbox.

Bagaimanapun, Smith menyatakan bahawa pesaing mereka, Sony mempunyai bahagian yang lebih besar dalam pasaran konsol permainan menerusi PlayStation dan Microsoft akan menyediakan judul permainan bagi kedua-dua konsol.

“Jika anda benar-benar bertanya apa yang akan menggalakkan persaingan, apa yang akan membawa lebih banyak peluang untuk pembangun permainan dan pemain, kami amat yakin bahawa pemerolehan jenis ini di mana kami mempunyai lebih banyak judul pihak pertama dan komited untuk menyediakannya kepada Sony PlayStation untuk dekad seterusnya, bagus untuk persaingan, bagus untuk pengguna,” kata Smith.

“Jadi saya berasa gembira tentang prospek kami terhadap penghakiman undang-undang pentadbiran,” tambahnya.

Smith bercakap pada sidang kemuncak AS-Afrika di Washington di mana Microsoft mendedahkan rancangan untuk menggunakan teknologi satelit untuk membawa internet kepada berjuta-juta rakyat Afrika yang berada di luar rangkaian.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *