g20-indoensia

Presiden Rusia Rancang Untuk Hadiri Persidangan G20 Di Indonesia Tahun Ini

Presiden Rusia Vladimir Putin berhasrat untuk menghadiri sidang kemuncak G20 di Indonesia akhir tahun ini, kata duta Rusia ke Indonesia hari ini.

Kenyataan itu sekali gus menolak spekulasi beberapa ahli G20 bahawa Rusia akan disekat daripada kumpulan itu.

Memetik sumber tanpa nama, Reuters melaporkan bahawa Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya sedang menilai sama ada Rusia harus kekal dalam Kumpulan 20 ekonomi utama susulan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Bagaimanapun, sebarang undian untuk mengecualikan Rusia mungkin akan diveto oleh ahli yang lain, meningkatkan prospek sebahagian negara mungkin tidak akan menghadiri mesyuarat tersebut.

Duta Rusia ke Indonesia, yang kini memegang giliran untuk mempengerusikan sidang kemuncak G20 berkata Putin berhasrat untuk melawat Bali bagi persidangan yang akan berlangsung pada November ini.

“Ia akan bergantung kepada banyak perkara, termasuk situasi COVID, yang semakin baik. Setakat ini, niatnya adalah … beliau ingin (menghadirinya),” kata duta Lyudmila Vorobieva pada sidang media.

Mengulas bahawa terdapat cadangan untuk mengecualikan Rusia daripada G20, Vorobieva berkata ia adalah forum untuk berbincang mengenai isu ekonomi, bukan krisis seperti Ukraine.

“Sudah tentu pengusiran Rusia daripada forum seperti ini tidak akan membantu masalah ekonomi ini diselesaikan. Sebaliknya, tanpa Rusia adalah sukar untuk melakukannya,” jelasnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *