fake-coke-russia

Produk ‘Tiruan’ Banjiri Pasaran Menggantikan Jenama-jenama Ikonik Di Rusia

Syarikat-syarikat Barat dengan jenama ikonik seperti Coca-Cola yang keluar dari Rusia telah berdepan persaingan dengan produk-produk tiruan dan import tanpa kebenaran sejak ia mula menembusi pasaran Soviet Union.

Kini, pertarungan semakin sengit apabila produk-produk tiruan ini semakin membanjiri pasaran apabila cuba mengisi kekosongan yang mereka tinggalkan.

Tambahan pula, usaha untuk menangani produk tiruan tersebut dilihat berisiko berikutan kurangnya sokongan mahkamah Rusia terhadap firma yang meninggalkan negara.

Kebanyakan syarikat Barat telah mula menghentikan perniagaan mereka di Rusia susulan tekanan para pelabur dan orang ramai apabila Moscow mula mencerobohi Ukraine pada Februari lalu.

Coca-Cola Co, memuktamadkan keputusan meninggalkan Rusia pada bulan ini selepas mengumumkannya lima bulan yang lalu, manakala yang lain seperti McDonald’s Corp telah menjual perniagaan mereka.

Melindungi jenama daripada kehilangan nilai jika mereka kembali ke Rusia merupakan faktor yang mendorong syarikat-syarikat mempertahankan hakcipta mereka, kata peguam harta intelek.

Menurut dokumen dan temu bual dengan peguam yang terlibat, Reuters melaporkan bahawa Coca-Cola yang pertama kali didapati di Kesatuan Soviet pada tahun 1979, sudah pun terjerat dalam perjuangan menentang pasaran yang telah dikelabui dengan import tanpa kebenaran dan tiruan Rusia dari rangkaian Fanta.

Kebiasaannya, kerajaan akan menolak permohonan untuk lambang yang serupa atau hampir serupa dengan jenama sedia ada, kata pakar harta intelek Clarivate Plc, Robert Reading.

Namun begitu kerajaan Rusia pada musim bunga ini mengguna pakai keputusan yang membenarkan perniagaan menggunakan paten dari negara yang dianggap “tidak mesra”, seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Malah, syarikat itu juga tidak perlu membayar pemilik harta intelek, sekali gus meletakkan jenama-jenama Barat dalam kedudukan bertahan.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *