ringgit-myr

Ringgit Terus Menjunam, BNM Tidak Akan Campur Tangan Dalam Pasaran Forex

Ringgit dibuka rendah dan terus diniagakan lebih lemah berbanding dolar AS pada hari ini, didorong oleh ketidaktentuan pasaran, pendekatan dasar Fed yang lebih agresif serta harga minyak yang lebih rendah.

Tindakan Fed memperketatkan dasar monetari dengan unjuran ekonomi global yang lebih baik terus memberi kelebihan kepada mata wang dolar.

Setakat jam 1.55 petang, mata wang tempatan jatuh 0.46% kepada 4.5980 berbanding 4.5910 pada Jumaat lalu.

Kejatuhan yang berterusan ini juga berlaku selepas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus pada hujung minggu berkata bank pusat tidak akan campur tangan dalam pasaran forex untuk mengukuhkan ringgit.

Nor Shamsiah berkata bahawa keutamaan dasar hendaklah mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil dan mengukuhkan lagi asas ekonomi domestik melalui pembaharuan struktur.

“Hal ini akan memberikan sokongan yang lebih berkekalan untuk ringgit,” kata Nor Shamsiah menolak penggunaan kawalan modal atau penambatan semula ringgit yang telah mencecah paras terendah 24 tahun berbanding dolar AS minggu ini.

BNM juga akan terus memantau dan memastikan keadaan pasaran kewangan yang teratur di tengah-tengah perkembangan luar yang telah membawa kepada kekuatan berterusan dolar AS berbanding hampir semua mata wang, termasuk ringgit.

“Pergerakan ringgit akan terus ditentukan pasaran. Pasaran pertukaran asing terus berfungsi dan menjadi perantara yang berkesan” jelas beliau.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *