Ringkasan FOMC : Hawkish Namun Tidak Begitu Membantu USD

Ringkasan FOMC : Hawkish Namun Tidak Begitu Membantu USD

Minit mesyuarat FOMC bagi bulan Mac yang lalu telah diterbitkan pada awal pagi tadi, setelah ahli jawatankuasa sebulat suara bersetuju untuk menaikkan

Minit mesyuarat FOMC bagi bulan Mac yang lalu telah diterbitkan pada awal pagi tadi, setelah ahli jawatankuasa sebulat suara bersetuju untuk menaikkan kadar faedah Fed sebanyak 25 mata asas kepada 1.75%. Walau dengan kenaikkan kadar faedah tersebut, USD masih terus ditekan.

Penyata FOMC kali ini kelihatan sedikit hawkish, dimana kesemua mereka bersetuju inflasi akan berjaya mencapai sasaran mereka dalam masa yang terdekat dan sebetulnya ia telahpun dilepasi pada tahun ini. Pada Januari, inflasi berada pada paras 2.1%, Februari 2.2% dan Mac 2.4%. Ini secara langsung membuka ruang pada kemungkinan berlakunya 2 atau 3 kali lagi kenaikan kadar faedah pada tahun ini.

Fed menganggarkan kadar faedah yang neutral bagi jangka masa panjang adalah pada paras 2.9%, itu adalah sebanyak 4-5 kenaikan (25 mata asas) daripada sekarang. Kenyataan ini disokong oleh pendirian kesemua pegawai Fed bahawa mereka menjangkakan inflasi akan terus bergerak lebih tinggi dalam tempoh 12 bulan. Kesemua pegawai Fed melihat polisi atau dasar yang lebih ketat mungkin diperlukan.

Antara perkara-perkara yang penting dan menarik di dalam penyata FOMC kali ini adalah seperti di bawah :

  • Hampir kesemua bersetuju kenaikan kadar faedah berperingkat adalah bersesuaian
  • Kesemua bersetuju pandangan ekonomi telah menguat dalam tempoh beberapa bulan ini
  • Majoriti bersetuju tindakan balas perdagangan oleh negara-negara lain adalah sebagai risiko pada ekonomi AS
  • Walaupun jangkaan inflasi akan menaik, penggubal polisi bersetuju itu sahaja tidak memadai dan membenarkan perubahan unjuran kenaikan kadar faedah
  • Kenyataan Fed di masa hadapan mungkin perlu memberi isyarat bahawa polisi atau dasar mereka akan beralih menjadi faktor yang neutral atau mengekang untuk ekonomi

USD mendapat sedikit bantuan sejurus penyata FOMC ini, namun tidak berjaya untuk mengekalkan momentum itu. Belum pun reda sepenuhnya sentimen “Trade War” dengan China sentimen risiko perang antara AS dan Russian di Syria mulai menguasai pasaran. Russia yang menyokong kerajaan pimpinan Basyar Assad di Syria memberi amaran untuk menembak jatuh sebarang peluru berpandu atau pesawat tentera AS, jika mereka menyerang.

Polis Tentera Russia telahpun ditempatkan di Douma Syria setelah bandar tersebut ditawan oleh tentera Pro-Assad. Hujung minggu lalu, serangan senjata kimia telah membunuh hampir keseluruhan puak penentang dan populasi awam yang menentang rejim Al-Assad. Douma adalah kubu kuat terakhir puak penentang di timur luar Damascus. Terbaru, Arab Saudi dikatakan berjaya memintas sebuah peluru berpandu di Riyadh.

Ketegangan geopolitik memberi kesan pada permintaan tinggi terhadap instrumen komoditi seperti Emas dan Minyak. Emas melonjak ke paras $1365 sebelum sedikit berundur pasca FOMC manakala BRENT berada di paras $72 setong dan WTI $67 setong. Emas mendapat manfaat daripada “risk-off” pasaran dan dibantu oleh kurangnya momentum kekuatan USD. Bagi pasaran Minyak Mentah, walaupun data EIA menunjukkan pengeluaran mengalami kenaikan, namun ketegangan di Timur Tengah menimbulkan kebimbangan berlakunya gangguan bekalan.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: