Pagi tadi, minit mesyuarat RBA bertarikh 4 April 2017 telah diterbitkan sekitar jam 9.30 pagi. AUD dilihat terus melemah selepas ianya diterbitkan, la
Pagi tadi, minit mesyuarat RBA bertarikh 4 April 2017 telah diterbitkan sekitar jam 9.30 pagi. AUD dilihat terus melemah selepas ianya diterbitkan, lantaran isi kandungan minit mesyuarat tersebut yang tampak dovish dan beberapa indikasi ekonomi penting yang tidak begitu baik untuk ekonomi Australia secara umumnya.
Antara yang menarik untuk diperkatakan tentang minit mesyuarat kali ini adalah pengangguran dan sektor perumahan. Kedua-dua komponen ini tersangat penting bagi menentukan tahap perkembangan ekonomi Australia, tanpa mengambil kira faktor KDNK, perlombongan dan instrumen kestabilan sektor kewangan mereka.
Kadar pengangguran telah meningkat kepada 5.9% pada bulan Februari, dan kadar kesanggupan pekerja untuk bekerja lebih masa juga dilihat meningkat. Ini diterjemahkan di atas kertas, apabila laporan data ekonomi sebelum ini jelas menunjukkan hanya sektor pekerjaan separuh masa yang meningkat berbanding pekerjaan tetap.
Australia memberi respon pada keadaan ini dengan bakal memperketatkan syarat untuk Visa pekerja. Visa yang baharu hanya akan membenarkan pekerja untuk tinggal selama 2 tahun, standard yang lebih tinggi dalam bertutur dalam bahasa Inggeris dan pemeriksaan menyeluruh pihak polis.
Pendapatan isi rumah memberi kesan terus kepada kejatuhan jualan runcit pada Februari, di mana kadar hutang isi rumah juga meningkat seiringan dengan kelemahan penggajian dan pendapatan. Harga utiliti dijangka akan menekan kos jualan runcit, namun harga runcit masih rendah kerana wujudnya persaingan sihat di dalam sektor peruncitan.
Sektor perumahan kekal dalam keadaan perbezaan yang ketara antara sesebuah lokasi atau tempat. Apa yang membimbangkan adalah jumlah peningkatan kredit perumahan, apabila pada masa yang sama kelulusan kredit dan pendapatan isi rumah dilihat menurun memperlihatkan terdapatnya risiko di dalam pasaran perumahan.
Dari sudut positifnya, ekonomi Australia akan kekal tersokong oleh perkembangan ekonomi di China dan sektor perlombongan mereka apabila harga komoditi dilihat kembali pulih. Perkembangan sederhana KDNK dijangka untuk sukuan berakhir pada Mac. Ini adalah antara sebab RBA masih mengekalkan kadar tunai mereka pada 1.5%.
Anda boleh membaca minit mesyuarat RBA tersebut secara lengkap di sini : http://www.rba.gov.au/monetary-policy/rba-board-minutes/2017/2017-04-04.html
COMMENTS