bnm-2

Rizab Antarabangsa BNM Naik 2% Kepada AS$109.7 bilion Pada 30 November

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) naik kepada AS$109.7 bilion (RM483.89 bilion) pada 30 November 2022.

“Kedudukan rizab adalah mencukupi untuk membiayai 5.3 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan merupakan satu kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Peningkatan rizab sebanyak 2.04% adalah daripada AS$107.5 bilion yang direkodkan pada 15 November dan telah menunjukkan arah aliran lebih tinggi sejak angka yang dilaporkan pada 14 Oktober sebanyak AS$104.5 bilion.

Penambahan simpanan itu disokong oleh peningkatan rizab mata wang asing kepada AS$98.2 bilion daripada AS$95.8 bilion pada 15 November.

Sementara itu, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) BNM kekal tidak berubah pada AS$1.3 bilion, serta hak pengeluaran khas berkaitan IMF (AS$5.5 bilion) dan emas (AS$2.1 bilion).

Aset rizab lain, bagaimanapun, jatuh kepada AS$2.6 bilion, daripada AS$2.8 bilion manakala jumlah aset BNM bernilai RM606.17 bilion, meningkat daripada RM598.26 bilion

Mata wang dalam edaran stabil pada RM158.56 bilion. Deposit oleh institusi kewangan meningkat kepada RM196.7 bilion daripada RM195.75 bilion, manakala deposit daripada Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM12.5 bilion, daripada RM5.33 bilion.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *