axiata1

Rugi Forex, Axiata Group Dalam Kerugian Dua Suku Berturut-turut

Axiata Group Bhd mencatatkan kerugian bersih RM106.38 juta bagi suku kedua (2QFY22) berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22), disebabkan kerugian pertukaran asing (forex) yang ketara menerusi operasi mudah alih di Sri Lanka.

Angka itu menandakan bahawa Axiata telah berada dalam kedudukan merah dua suku berturut-turut.

Kerugian suku tahunan yang direkodkan semakin lebar berbanding RM42.97 juta bagi suku sebelumnya yang berakhir pada 31 Mac 2022.

Menurut pemfailkan kepada bursa saham hari ini, Axiata mengalami kerugian tukaran wang asing sebanyak RM475.7 juta bagi suku dalam tinjauan.

RM370.5 juta pula adalah kerugian tidak direalisasi akibat pendedahan kepada pinjaman dan liabiliti dalam denominasi dolar AS.

Berbanding suku kedua tahun lalu, kumpulan Axiata berjaya mencatat keuntungan bersih sebanyak RM277.76 juta.

Walaupun mencatatkan kerugian bersih untuk 2QFY22, hasil Axiata meningkat 4.9% tahun ke tahun kepada RM6.7 bilion, daripada RM6.39 bilion setahun lalu.

Peningkatan itu dipacu oleh pertumbuhan hasil dalam semua segmen geografi kecuali Sri Lanka.

“Walaupun prestasi operasi pada 1HFY22 kekal menggalakkan, lembaga pengarah mengakui risiko makroekonomi global semasa, terutamanya dalam pasaran sempadan seperti Sri Lanka, Bangladesh dan Nepal, dan langkah proaktif sedang diambil untuk menguruskan risiko ini,” jelas laporan tersebut.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *