gas-pipeline-russia

Rusia Dakwa Desakan Amerika Syarikat Punca Krisis Bekalan Gas Eropah

Kementerian Luar Rusia hari ini berkata bahawa Amerika Syarikat telah mencetuskan krisis bekalan gas Eropah dengan mendorong pemimpin Eropah “membunuh diri” apabila memotong kerjasama ekonomi dan tenaga dengan Moscow.

Eropah kini sedang menghadapi krisis bekalan gas paling teruk dalam sejarah, dengan harga tenaga melambung tinggi.

Para pengimport Jerman turut membincangkan kemungkinan berlakunya catuan dalam ekonomi terbesar Kesatuan Eropah itu selepas Rusia mengurangkan aliran gas ke arah barat.

Apabila ditanya apa yang perlu berlaku untuk Nord Stream 1 mula mengepam semula, jurucakap Kementerian Luar Maria Zakharova menyalahkan barat dan menyebutkan “mereka yang memulakan perlu menyelesaikannya.”

Beliau juga mendakwa AS telah lama berusaha untuk memutuskan hubungan tenaga antara Rusia dan kuasa besar Eropah seperti Jerman, walaupun Moscow telah menjadi pembekal tenaga yang boleh dipercayai sejak zaman Soviet.

“Dominasi Washington menang,” kata Zakharova di luar Forum Ekonomi Timur di Vladivostok.

“Gesaan politik yang telah menguasai Kesatuan Eropah memainkan peranan sebagai pencetus provikasi,” tegasnya.

AS dan EU telah menuduh Rusia telah membuat ugutan selepas Moscow mengurangkan bekalan gas kepada pelanggan Eropah.

Rusia pula berkata terdapat masalah teknikal dengan stesen pemampat yang telah disekat sehingga menghalang pemulihan.

Kerajaan Rusia juga mengatakan bahawa Barat telah mencetuskan krisis tenaga mereka sendiri dengan mengenakan sekatan ke atas Moscow, tindakan yang digelar oleh Presiden Vladimir Putin seperti pengisytiharan perang ekonomi.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *