xr:d:DAE4IBI-4Og:2956,j:33161913688,t:22081809

Rystad Energy: Pelaburan Upstream Rusia Dijangka Menjunam Sebanyak AS$10b Tahun Ini

Kesan kewangan sekatan Barat dan perpindahan besar-besaran rakan kongsi asing dari sektor minyak dan gas Rusia mula menjadi kenyataan, dengan pelaburan upstream dijangka merosot kepada AS$35 bilion pada 2022.

Rystad Energy dalam satu kenyataan pada hari ini berkata bahawa sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada akhir Februari tahun ini, pelaburan upstream di Rusia dijangka menghampiri AS$50 bilion pada 2022.

Firma yang berpangkalan di Oslo itu juga berkata pelaburan dalam sektor upsteream Rusia berjumlah AS$45 bilion pada tahun lalu, pulih daripada paras terendah AS$40 bilion pada 2020 berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, ia berkata bahawa apabila Rusia semakin dipinggirkan daripada pasaran tenaga global, pelaburan telah merosot jauh di bawah paras yang dilihat pada tahun yang dilanda pandemik itu, dan dijangka akan kekal lemah sehingga sekurang-kurangnya tahun 2025.

Rystad berkata kebekuan dalam pelaburan akan membawa kepada penurunan dalam keputusan terakhir projek pelaburan, dan memaksa pengendali membuat keputusan yang sukar mengenai perbelanjaan.

Walaupun gergasi domestik Gazprom dan Rosneft akan dapat terus berbelanja sekitar paras 2021, para pelabur lain akan melihat penurunan ketara dalam pelaburan mereka, kata Rystad.

Antara faktor utama yang mengehadkan pelaburan ialah kelewatan dalam beberapa projek gas asli cecair (LNG) besar, yang kini telah ditolak lima atau enam tahun ke hadapan.

Hal ini disebabkan oleh kekangan teknologi dan pembiayaan apabila rakan kongsi Barat mula menarik diri.

Sebelum Rusia menyerang Ukraine, pelaburan dijangka meningkat dengan ketara, kerana Gazprom telah menyusun pembangunan beberapa medan kondensat gas yang besar di rantau Yamal, dan Novatek terlibat secara aktif dalam projek LNG-2 Artiknya.

Kini, hanya sebahagian daripada projek ini yang berkemungkinan akan mula beroperasi sebelum 2025, katanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *