gobind singh digital malaysia 5g

Syarikat Telco Untuk Rangkaian 5G Kedua Akan Dipilih Menjelang Akhir 2024 – Gobind

Proses untuk mememilih operator atau pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bagi peralihan rangkaian 5G kedua dijangka akan selesai pada akhir tahun ini.

Beliau berkata perjanjian langganan saham (SSA) bagi empat syarikat telekomunikasi telah ditandatangani dan telah mempersiapkan landasan bagi peralihan kepada model dwi borong (DWN) 5G.

CelcomDigi Bhd menerusi Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd menerusi YTL Power International Bhd kesemuanya telah memperoleh kepentingan dalam Digital Nasional Bhd (DNB).

Syarikat telekomunikasi kelima, Telekom Malaysia Bhd (TM) mempunyai sehingga 21 Ogos ini untuk mendapatkan persetujuan pemegang-pemegangn saham bagi menyelesaikan SSA mereka.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang dalam proses melihat bagaimana mereka boleh memulakan proses untuk bergerak ke arah rangkaian kedua.

“Ini adalah sesuatu yang SKMM akan berkata kemudian, biarkan proses itu berlaku. Kami akan memaklumkan kepada akhbar apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku seterusnya,” kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo kepada pemberita pada majlis pelancaran e-Mas TNG eWallet.

Gobind berkata pada masa ini tiada garis masa yang ditetapkan untuk hal ini, tetapi mereka berharap kemajuan dapat dicapai sebelum akhir tahun ini.

“Setakat mengenai perjanjian, ia telah ditandatangani dan telah selesai. Kini, adalah waktu untuk peringkat kedua yang pada asasnya adalah proses secara keseluruhannya yang mana kita dapat melihat keputusan yang diambil tentang siapa yang akan membina rangkaian seterusnya.

“Itu sedang berjalan dan saya harap ia dapat diumumkan segera dan siap sebelum akhir tahun,” katanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *