ev charge station 2

Tarif EU Ke Atas EV China ‘Memudaratkan’ Pasaran Eropah – Volkswagen

Syarikat kereta gergasi Jerman, Volkswagen hari ini berkata langkah EU mengenakan duti tambahan sementara sehingga 38 peratus ke atas import kereta elektrik China atas kebimbangan subsidi adalah “memudaratkan” pasaran Eropah.

“Cukai balas secara amnya tidak sesuai untuk mengukuhkan daya saing industri automotif Eropah dalam jangka panjang – kami menolaknya,” kata Volkswagen dalam satu kenyataan.

EU mengumumkan kenaikan tarif yang dirancang bulan lalu pada akhir siasatan ke atas subsidi negara China kepada pengeluar EV mereka yang menyebabkan persaingan tidak adil dengan pengeluar Eropah.

Bagaimanapun, kumpulan kereta di Jerman memberi respon yang negatif terhadap tindakan EU ke atas China, di mana kebanyakan mereka mempunyai kepentingan perniagaan yang ketara.

“Waktu bagi keputusan Suruhanjaya EU ini memudaratkan” pasaran kereta elektrik Eropah, di mana permintaan adalah lemah, kata Volkswagen.

Pengeluar kereta terbesar Eropah berkata “kesan negatif keputusan ini melebihi sebarang manfaat yang berpotensi untuk Eropah dan terutamanya industri automotif Jerman”.

Ketua BMW, Oliver Zipse berkata, pertarungan tarif antara EU dan China “membawa kepada jalan buntu”.

“Ia tidak mengukuhkan daya saing pengeluar Eropah. Sebaliknya: ia merosakkan model perniagaan syarikat yang aktif secara global,” kata Zipse dalam satu kenyataan.

Langkah untuk meningkatkan harga import China dengan “menghadkan bekalan EV kepada pelanggan Eropah dan oleh itu boleh melambatkan penyahkarbonan dalam sektor pengangkutan”, jelas beliau.

Peningkatan duti itu akan bermula esok, dengan cukai muktamad berkuat kuasa pada November untuk tempoh lima tahun, sementara menunggu undian oleh 27 negara anggota EU.

Persatuan industri auto VDA Jerman berkata terdapat “risiko nyata peningkatan dalam konflik perdagangan dengan China” jika EU meneruskan kenaikan tarif.

“Langkah balas China boleh menjejaskan ekonomi Eropah dengan teruk”, terutamanya sektor dengan eksport besar ke China, kata VDA.

Persatuan industri menyeru EU untuk membatalkan kenaikan tarif dan mencari “penyelesaian yang dirundingkan” dengan Beijing.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *