TNB Jual Loji Janakuasa Turbin Gas Di Pakistan Dengan Harga RM230 Juta

TNB Jual Loji Janakuasa Turbin Gas Di Pakistan Dengan Harga RM230 Juta

Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah melepaskan seluruh pegangannya dalam TNB Power Daharki Ltd (TPD), yang memiliki loji janakuasa turbin gas di Pakistan

Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah melepaskan seluruh pegangannya dalam TNB Power Daharki Ltd (TPD), yang memiliki loji janakuasa turbin gas di Pakistan, dengan harga AS$54.5 juta (RM229.58 juta).

TPD adalah syarikat induk bagi TNB Liberty Power Ltd (LPL) yang memiliki dan mengendalikan loji jana kuasa kitar padu turbin gas 235MW yang telah mula beroperasi 20 tahun lepas pada 2001, dengan perjanjian pembelian tenaganya akan tamat pada September 2026.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, TNB menjelaskan penjualan TPD itu adalah sejurus selepas penjualan debentur wajib tukar di India pada Ogos lalu.

Selain itu, penjualan tersebut juga menandakan satu lagi langkah penting dalam strategi TNB menyelaraskan portfolio antarabangsa dengan mengutamakan pertumbuhan tenaga boleh baharu dalam pasaran tumpuan seperti UK, Eropah dan Asia Tenggara.

“Langkah ini adalah sejajar dengan inisiatif TNB memanfaatkan pilihan penjualan asetnya dalam pasaran bukan tumpuan dan menyalurkan semula hasil penjualan bagi mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu,” jelas TNB.

Aset antarabangsa TNB yang terletak di wilayah Sindh itu telah dijual kepada AsiaPak Investment Ltd, syarikat pelaburan swasta yang berpangkalan di Pakistan dan Hong Kong.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Ir Baharin Din berkata penjualan TPD dan LPL menandakan satu daripada inisiatif perancangan strategik TNB untuk memberi tumpuan kepada pasaran pertumbuhan di samping melaksanakan visi global terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau juga berkata urus niaga dalam persekitaran ekonomi mencabar yang dijejaskan lagi oleh COVID-19, membuktikan ketahanan dan keupayaan TNB mengekalkan nilai pelaburan syarikat.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: