COP27

UAE, Mesir Tandatangani Perjanjian Kuasa Angin Di Luar Sidang Kemuncak COP27

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir hari ini bersetuju untuk membangunkan salah satu ladang kincir angin terbesar di dunia dalam perjanjian yang dibuat di luar sidang kemuncak iklim COP27 PBB di Sharm el-Sheikh.

Projek angin darat 10 gigawatt (GW) di Mesir itu akan menghasilkan 47,790 GWj tenaga bersih setiap tahun sebaik sahaja ia siap dibangunkan, kata agensi berita negara UAE WAM hari ini.

Menurut WAM, projek itu akan mengimbangi 23.8 juta tan pelepasan karbon dioksida – bersamaan dengan sekitar sembilan peratus daripada pengeluaran CO2 Mesir semasa.

Ladang kincir angin itu juga akan menjimatkan Mesir sekitar AS$5 bilion dalam kos gas asli tahunan dan membantu mewujudkan sebanyak 100,000 pekerjaan, kata akhbar tersebut.

Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan turut hadir bersama Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada majlis menandatangani perjanjian antara firma tenaga boleh diperbaharui Masdar UAE, Infinity Power Mesir dan Hassan Allam Utilities.

Dalam satu kenyataan di Twitter, Sheikh Mohamed berkata perjanjian itu “selaras dengan komitmen kami untuk memajukan pilihan tenaga boleh diperbaharui yang dapat menyokong pembangunan mampan”.

Sidang kemuncak iklim COP27 PBB dimulakan di Mesir pada Ahad lalu dengan amaran terhadap kemunduran dalam usaha mengurangkan pelepasan dan menyeru negara-negara kaya untuk memberi pampasan kepada negara miskin selepas setahun bencana cuaca ekstrem.

“Kami akan berusaha untuk memajukan keuntungan yang dicapai di sini pada COP27, ketika UAE menjadi tuan rumah COP28 tahun depan,” kata menteri industri Emirati Sultan Ahmed Al Jaber sebagai berkata.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *