Britain mengumumkan £1 bilion (AS$1.26 bilion) pelaburan untuk sektor semikonduktornya pada hari Jumaat dalam satu strategi yang telah lama dinantikan, bertujuan untuk mengukuhkan industri domestik dan rantaian bekalan cip.
Strategi itu memberi tumpuan kepada peranan Britain dalam reka bentuk semikonduktor, digunakan dalam segala-galanya daripada kereta hingga telefon pintar dan mesin basuh, kata jabatan sains, inovasi dan teknologi (DSIT) yang baru dibentuk kerajaan.
“Strategi baharu kami memfokuskan usaha kami di mana kekuatan kami terletak, dalam bidang seperti penyelidikan dan reka bentuk, supaya kami boleh membina kelebihan daya saing kami di pentas global,” kata Perdana Menteri Rishi Sunak dalam satu kenyataan.
Britain akan melabur £200 juta pada 2023-25, berkembang sehingga £1 bilion dalam dekad akan datang.
Sunak dalam pertemuan bersama pemimpin G7 bersetuju dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida untuk melancarkan “perkongsian semikonduktor”, satu kerjasama dalam penyelidikan dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.
Walaupun penekanan strategi Britain itu adalah pada reka bentuk dan penyelidikan, dan bukannya membuat semikonduktor, namun Sunak berkata beliau akan mengumumkan rancangan untuk menyokong pelaburan dalam sektor pembuatan cip menjelang musim luruh.
Amerika Syarikat pada tahun lalu mengumumkan AS$52.7 bilion subsidi cip, manakala undang-undang cip Kesatuan Eropah mencadangkan untuk membawa kira-kira 43 bilion euro (AS$47 bilion) dalam pelaburan yang sama.
Sementara itu, Jepun, India dan Korea Selatan telah melancarkan strategi semikonduktor mereka sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.