Ulasan Ringkas Tahun 2017 Bagi Matawang & Komoditi Utama Dunia

Ulasan Ringkas Tahun 2017 Bagi Matawang & Komoditi Utama Dunia

Assalamualaikum, selamat sejahtera dan selamat menyambut kehadiran tahun baharu masihi 2017. Saya ingin mulakan tulisan pertama di tahun baharu 201

Assalamualaikum, selamat sejahtera dan selamat menyambut kehadiran tahun baharu masihi 2017.

Saya ingin mulakan tulisan pertama di tahun baharu 2017 ini, dengan ulasan dan unjuran beberapa matawang dan komoditi utama dunia secara ringkas tanpa terlalu kompak dengan data dan statistik makroekonomi.

US Dollar

Donald Trump bakal mengambil alih tampuk pentadbiran Amerika pada 20 Jan 2017. Pelan tindakan melalui polisi pentadbiran beliau dilihat oleh penganalisa kewangan bakal membawa ketidaktentuan pasaran bagi 1 suku pertama tahun ini.

Tempoh 100 hari pentadbiran Trump, hala tuju FED dalam kenaikan kadar faedah, kadar pendapatan pekerja dan sektor pekerjaan, inflasi, keyakinan pelabur serta status dan impak pembatalan TPPA kesemua ini antara yang bakal menjadi tumpuan utama di 2017.

Yuan & China

Matawang utama negara tembok besar ini semakin menyusut ke paras terendah dalam masa 8 tahun. China di dalam fasa transformasi ekonomi beralih ke sektor perkhidmatan dan infrastruktur, menjadikan sektor pembuatan dan industri perkilangan mereka merosot.

Tekanan dan ketegangan hubungan diplomatik kedua negara juga menjadi tumpuan apabila Trump memasuki Rumah Putih nanti.

EUR & Krisis Kesatuan Eropah

Pada bulan Disember 2016, ECB telah melanjutkan lagi tempoh pembelian bon mereka kepada 9 bulan, dengan mengurangkan nilai pembelian aset. Sebarang tanda kenaikan harga pengguna atau indikasi sasaran inflasi dicapai, ECB akan memberhentikan rangsangan kewangan mereka.

Sentimen dan kegusaran beberapa negara seperti Perancis, Austria dan Sweden yang dikatakan bakal meninggalkan kesatuan Eropah (EURO) menambahkan lagi dilema krisis blok kewangan kedua terbesar dunia itu. Baca selanjutnya tentang kisah ini di artikel sebelum ini : https://www.ctc.fm/fiber-vs-buck-2017-tahun-politik-eropah-frexit/

Pound Sterling

Setelah referendum untuk Britain keluar dari kesatuan Eropah mendapat undian sebanyak 52%, pound telah merosot dengan teruk. Tekanan BREXIT masih belum berakhir, Theresa May yang mendokong aspirasi ini berusaha untuk mendapatkan keyakinan dan kelulusan parlimen bagi kata putus terakhir kepada BREXIT atau BREMAIN.

May dijangka akan membuat satu ucapan pada awal tahun ini berkenaan dengan posisi terkini beliau dalam isu BREXIT, namun tidak menyatakan bila kerajaan akan membentangkan pelan bertulis sebelum Artikel 50 dilaksanakan.

Emas

Beberapa hari sebelum berakhir tahun 2016, indeks dollar melemah dan ini mencetus keyakinan pedagang emas untuk melakukan pembelian.

Dollar dilihat kehilangan momentum ‘bullish’ nya sejak kebelakangan ini, kemungkinan disebalik kekuatan besi kuning sebagai ‘safe haven’. Tahun Baru Cina yang bakal tiba, antara masa-masa pembelian emas dilihat meningkat.

Minyak Mentah

Pasaran minyak mentah dunia dilihat menuju ke arah pemulihan apabila untuk kali pertama negara-negara OPEC dan Non-OPEC telah bersetuju untuk memotong mengeluaran minyak mereka di mesyuarat berlangsung di Vienna Disember lalu.

Jumlah pengurangan bekalan sebanyak 1.8 juta tong sehari bermula Januari dijangka mampu memacu semula harga minyak kembali ke paras stabil. Namun pengeluaran dari Libya yang mendapat pengecualian dan pengeluaran tinggi di Amerika mungkin penjadi penghalang utama.

 

Tahun 2017 pastinya akan menjadi satu lagi tahun yang menarik untuk kita jelajahi bersama. Terima kasih kepada semua pembaca artikel hasil tulisan saya di tahun 2016, semoga anda terus memberi sokongan dan harapan saya anda mendapat sesuatu yang bermanfaat.

COMMENTS

WORDPRESS: 0
DISQUS: