volks-china

Volkswagen Tidak Akan Sertai Persaingan Beri Diskaun Di China

Volkswagen tidak akan mengambil bahagian dalam persaingan memberi diskaun di China “pada sebarang harga”, kata Ketua Pegawai Operasi Ralf Brandstaetter dalam temu bual hari ini.

Pembuat kereta Jerman itu berada di bawah tekanan yang semakin meningkat daripada pengeluar China baharu dalam pasaran terpentingnya berikutan kejayaan produksi kereta elektrik mereka berbanding pesaing dari Barat.

“Volkswagen memberi tumpuan kepada model perniagaan yang mampan. Dalam terma yang lebih jelas, ini bermakna kami tidak akan mengambil bahagian dalam persaingan memberi diskaun pada sebarang harga,” kata Brandstaetter.

“Kedudukan pasaran kami cukup kukuh. Bagi kami, tumpuan diberikan kepada keuntungan, bukan jumlah jualan atau bahagian pasaran,” tambahnya.

Brandstaetter menjangkakan pasaran kereta China akan berkembang daripada 22 juta sekarang kepada antara 28 hingga 30 juta menjelang 2030.

“Jika kami mencapai jualan lebih daripada 4 juta kenderaan dalam persekitaran ini pada 2030, dengan keuntungan yang sepadan, itu adalah kedudukan yang boleh kami harungi dengan baik,” katanya.

Volkswagen bercita-cita untuk menjadi pengeluar kereta antarabangsa terbesar di China, ujarnya sambil menambah bahawa adalah tidak relevan jika pengeluar negara lain menjual lebih banyak daripada yang dilakukannya.

Pengeluar China BYD telah berjaya mengatasi jualan Volkswagen pada awal tahun ini, setelah pengeluar Jerman itu menerajui pasaran di negara tembok besar selama beberapa dekad.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *