whatsapp-fined

WhatsApp, Firma Asing Lain Didenda Oleh Rusia Atas Pelanggaran Penyimpanan Data

Mahkamah Rusia hari ini mendenda platforms Meta Inc Whatsapp, pemilik Snapchat Snap Inc dan firma asing lain atas dakwaan keengganan mereka untuk menyimpan data pengguna Rusia di dalam negara.

Pertelingkahan antara Moscow dengan gergasi-gergasi teknologi berhubung isu kandungan, penapisan, data dan perwakilan tempatan semakin memuncak sejak Rusia menghantar angkatan tenteranya ke Ukraine pada 24 Februari.

Mahkamah Daerah Tagansky Moscow mendenda WhatsApp 18 juta rubel (RM1.3 juta) atas kesalahan berulang selepas ia dikenakan penalti sebanyak 4 juta rubel pada Ogos lalu.

Denda ke atas WhatsApp itu melebihi penalti 15 juta rubel yang pernah dikenakan kepada Google Alphabet Inc atas isu pelanggaran berulang pada bulan lepas.

Mahkamah Rusia turut mendenda pemilik Tinder Match Group 2 juta rubel, Snap dan Hotels.com, yang dimiliki oleh Expedia Group Inc, 1 juta rubel dan perkhidmatan penstriman muzik Spotify 500,000 rubel.

Rusia telah mengehadkan akses kepada platform utama Meta Facebook dan Instagram, serta rangkaian sosial Twitter, tidak lama selepas konflik di Ukraine bermula.

Penganalisis melihat tindakan itu sebagai usaha Rusia untuk menggunakan kawalan yang lebih besar ke atas aliran maklumat.

Meta didapati bersalah atas tuduhan “aktiviti pelampau” di Rusia. Walaupun rayuan terhadap dakwaan itu ditolak pada bulan Jun, kerajaan Rusia masih membenarkan khidmat WhatsApp kekal tersedia di dalam negara.

Lebih 600 syarikat asing telah bersetuju dengan tuntutan Rusia sejak undang-undang penyimpanan data diluluskan pada 2015, kata Anton Gorelkin, timbalan ketua jawatankuasa dasar maklumat parlimen Rusia.

“Dalam konteks perang maklumat dengan Barat, kami yakin bahawa undang-undang ini diperlukan,” tulis Gorelkin di Telegram.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *