mbs-china

Xi Jinping Suarakan Hasrat Membeli Minyak Dalam Yuan Pada Sidang Kemuncak Di Riyadh

Presiden Xi Jinping memberitahu para pemimpin Arab Teluk pada Jumaat lalu bahawa China akan berusaha untuk membeli minyak dan gas dalam yuan.

Usaha itu dilihat sebagai satu langkah yang akan menyokong matlamat Beijing untuk mewujudkan mata wangnya di peringkat antarabangsa dan melemahkan cengkaman dolar AS ke atas perdagangan dunia.

Xi mengeluarkan kenyataan itu ketika menghadiri dua sidang kemuncak “pencapaian” Arab yang dianjurkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman di Arab Saudi.

Pengeksport minyak utama Arab Saudi dan gergasi ekonomi China kedua-duanya menghantar mesej yang jelas bahawa “tiada campur tangan” semasa lawatan Xi di Saudi ketika hubungan antara Riyadh dengan Washington sedang diuji dengan perbezaan tentang hak asasi manusia, dasar tenaga dan Rusia.

Sebarang langkah Arab Saudi untuk menghapuskan pergantungan dolar dalam perdagangan minyaknya akan menjadi satu gerakan politik yang dramatik.

Mengeratkan hubungan ekonomi adalah isu yang digembar-gemburkan semasa lawatan Xi menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin-pemimpin negara Liga Arab merangkumi Teluk, Levant dan Afrika.

Pada permulaan rundingan, Putera Mohammed mengumumkan “fasa baharu hubungan bersejarah dengan China”.

Hal ini dilihat berbeza dengan pertemuan AS-Saudi lima bulan lalu apabila Presiden Joe Biden menghadiri sidang kemuncak Arab yang lebih kecil di Riyadh.

Ditanya mengenai hubungan negaranya dengan Washington memandangkan kemesraan yang ditunjukkan kepada Xi, Menteri Luar Negeri Putera Faisal bin Farhan Al Saud berkata Arab Saudi akan terus bekerjasama dengan semua rakan kongsinya.

“Kami tidak melihat ini sebagai permainan ‘zero-sum’. Kami tidak percaya pada polarisasi atau memilih mana-mana pihak,” kata putera raja itu pada sidang akhbar selepas rundingan tersebut.

Walaupun Arab Saudi dan China menandatangani beberapa perjanjian perkongsian strategik dan ekonomi, penganalisis berkata tunjang hubungan kebanyakannya akan kekal pada kepentingan tenaga, walaupun firma China telah berjaya menembusi sektor teknologi dan infrastruktur.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *