Pembuat telefon pintar China Xiaomi melancarkan kenderaan elektrik pertamanya pada hari Khamis dan mengumumkan sasaran mereka untuk menjadi salah satu daripada lima pembuat kereta terbaik dunia.
Sedan yang digelar SU7 itu dengan nama singkatan SU untuk Speed Ultra, adalah model yang dinanti-nantikan yang Ketua Eksekutif Lei Jun dan dikatakan mempunyai teknologi “motor elektrik super” yang mampu memberikan kelajuan pecutan lebih pantas berbanding EV Tesla dan Porsche.
Kereta yang mungkin akan dijual dalam beberapa bulan lagi telah membuat penampilan sulungnya di China, pasaran kereta terbesar yang kini sedang mengalami kelebihan kapasiti dan permintaan yang perlahan.
Keadaan semasa itu walau bagaimanapun tidak menghalang Ketua Eksekutif Xiaomi Lei Jun daripada meletakkan cita-cita besar.
“Dengan bekerja keras dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang, kami akan menjadi salah satu daripada 5 pengeluar kereta terbaik dunia, berusaha untuk meningkatkan keseluruhan industri automobil China,” katanya pada majlis pelancaran itu.
Rancangan itu termasuk membina “kereta impian setanding dengan Porsche dan Tesla,” tambahnya.
SU7 juga dijangka menarik minat pelanggan kerana sistem pengendaliannya yang dikongsi dengan telefon popular Xiaomi dan peranti elektronik lain. Pemacunya akan mempunyai akses lancar kepada portfolio aplikasi mudah alih sedia ada syarikat.
“Xiaomi ialah jenama elektronik pengguna yang mantap dengan ratusan juta ‘Mi Fans’, atau ahli ekosistem peranti pintarnya,” kata Bill Russo, Ketua Pegawai Eksekutif firma penasihat Automobility yang berpangkalan di Shanghai.
“Oleh itu, mereka mempunyai peluang besar untuk menembusi kerana kereta itu menjadi peranti pintar,” ujarnya.