JR4A9535

Yadea China Akan Labur AS$1 bilion Dalam Kilang Bateri EV Di Filipina

Yadea Group Holdings dari China, salah satu pembuat kenderaan elektrik dua roda terbesar di dunia, merancang untuk melabur kira-kira AS$1 bilion dalam sebuah kilang bateri di Filipina, kata ketua agensi promosi pelaburan negara itu hari ini.

Yadea adalah salah satu daripada beberapa pengeluar kenderaan elektrik yang mensasarkan negara Asia Tenggara untuk pengembangan tapak pembuatan mereka, kata Tereso Panga, ketua pengarah Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Filipina (PEZA) milik kerajaan.

Syarikat pembuatan itu ketika ini mempunyai enam hab pengeluaran di China dan satu di Vietnam dengan kapasiti tahunan lebih daripada 12 juta kenderaan.

Filipina yang kelihatan sedikit ketinggalan dalam menarik pelaburan langsung asing, cuba memikat pengeluar kenderaan elektrik dan industri berorientasikan eksport melalui faedah cukai dan pemprosesan permit yang lebih pantas.

Antara faktor yang menjadi pelaburan tersebut adalah potensi hasil bumi yang terdapat di Filipina seperti nikel, tembaga dan kobalt, yang mana merupakan bahan mentah utama untuk industri EV.

Yadea telah pun menyatakan minatnya untuk memfailkan permohonan kepada PEZA bagi sebuah kilang di Batangas yang terletak di selatan ibu negara, Manila, kata Panga.

Bateri motosikal pada mulanya akan memenuhi permintaan domestik, dengan potensi untuk dieksport apabila Yadea mencapai skala ekonomi, tambahnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *