china-eskport-shipping

China Pecah Rekod, Perdagangan Dengan Rusia Cecah AS$190b Pada 2022

Perdagangan China dengan Rusia mencecah rekod 1.28 trilion yuan (AS$190 bilion) tahun lepas walaupun import Rusia dari EU merosot akibat sekatan yang dikenakan oleh negara barat, kata kerajaan China.

Eksport dan import China-Rusia pada 2022 menyumbang 3 peratus daripada jumlah perdagangan China, kata Lyu Daliang, jurucakap Pentadbiran Am Kastam.

Penghantaran barangan China ke Rusia telah berkembang selama enam bulan berturut-turut manakala Rusia telah menaikkan lebih dua kali ganda eksport gas petroleum cecair ke China pada 2022.

Tindakan Rusia itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempelbagaikan jualan eksport tenaganya.

Menurut pengeluar gas utama Rusia, Gazprom, import gas asli Rusia di China melalui saluran paip Power of Siberia dijangka meningkat sekurang-kurangnya 50 peratus pada 2022.

Import minyak mentah Rusia oleh China pula berkembang 10 peratus dalam tempoh 11 bulan pertama pada hampir 80 juta tan, jelasnya.

Berdasarkan data rasmi kastam China hari ini, perdagangan China dengan Rusia merosot mendadak dalam nilai dolar pada Disember lalu, dengan eksport hanya meningkat 8.3 peratus daripada bulan yang sama tahun lepas, turun daripada kenaikan 17.9 peratus November.

Sementara itu, import dari Rusia juga meningkat sekitar 8.3 peratus, merosot daripada kenaikan 28.5 peratus pada November, didorong oleh permintaan domestik yang terjejas akibat lonjakan jangkitan Covid-19 di China.

Namun begitu, dengan menghentikan dasar sifar Covid di China, Rusia kini bersedia untuk meneruskan perjalanan dua hala secepat mungkin dan memperdalamkan kerjasama strategik mereka, jelas Zhang Hanhui, Duta Besar China ke Rusia minggu ini.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *