lombong-bitcoin

10 Lagi Lombong Bitcoin Diserbu Di Perak

Sebanyak 10 premis yang disyaki menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin dengan mencuri elektrik di daerah Taiping, Perak telah diserbu polis pada hari Sabtu yang lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya merampas sejumlah 480 unit mesin bitcoin, tiga unit monitor, tiga unit CPU, empat papan kekunci tiga tetikus dan 13 modem.

Tiada sebarang tangkapan dibuat dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM720,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya kenyataan hari ini

Serbuan itu dibuat berikutan pihak polis sedang meningkatkan usaha termasuk menjalankan operasi dan serbuan bagi menghapuskan kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi tujuan melombong bitcoin.

Pada 4 Januari lalu, sebanyak 864 peralatan untuk aktiviti perlombongan bitcoin bernilai RM1.6 juta dirampas dalam serbuan membabitkan 16 premis di sekitar Manjung.

Serbuan Ops Lektrik TNB itu disertai 155 pegawai dan anggota polis dengan dibantu sembilan juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan.

Pihak polis juga berjaya menumpaskan kegiatan melombong bitcoin secara haram yang terbesar di Perak dalam satu operasi bersepadu khas di sekitar daerah Manjung pada Disember yang lalu.

Sebanyak 1,720 mesin Bitcoin bernilai RM2,000 setiap satu dan pelbagai barangan lain telah dirampas dengan nilai keseluruhan kira-kira RM3.5 juta. Dalam tempoh 7 hari pada tahun ini, jumlah rampasan berkaitan bitcoin di Perak mencecah RM2.3 juta.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *