Malaysia-hub-digital

Ericsson, Intel Akan Jalin Kerjasama Untuk Bina Ekosistem 5G Di Malaysia

Gergasi telekomunikasi Sweden Ericsson dan Intel akan membentuk satu kerjasama di Malaysia dalam pembangunan penggunaan 5G yang boleh mempercepatkan penggunaan teknologi baharu bagi perusahaan dan pendigitalan di negara ini.

Langkah penting yang memberi manfaat kepada Malaysia itu dibuat selepas CEO Ericsson Börje Ekholm dan CEO Intel Pat Gelsinger bertemu di Forum Ekonomi Dunia yang sedang berlangsung di Davos, Switzerland.

Kedua-dua gergasi itu membincangkan kemungkinan kerjasama lanjut dalam membina ekosistem 5G di Malaysia menerusi pembangunan kes penggunaan 5G di pelbagai sektor.

“Menerusi bekerjasama ini, kami akan menggunakan kelajuan, daya tahan, keselamatan dan kependaman rendah 5G untuk mempercepatkan transformasi Malaysia kepada ekonomi digital,” kata Ekholm.

Beliau juga memuji Malaysia kerana telah membuat langkah berani dengan mentauliahkan rangkaian 5G di seluruh negara.

“Langkah strategik itu membuahkan hasil. Negara ini tidak lama lagi akan mencapai satu daripada pelancaran 5G terpantas di dunia, membolehkan semua orang menikmati faedah ekonomi digital lebih cepat daripada yang dijangkakan,” katanya.

Ekholm juga berkata bahawa teknologi 5G ialah platform untuk inovasi tanpa had, yang mampu memacu impak positif eksponen kepada masyarakat.

Pelancaran rangkaian 5G Malaysia yang dipercepatkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) dengan kerjasama Ericsson, katanya, direka untuk menyampaikan pengalaman bertaraf dunia kepada pengguna.

Semasa pertemuan di Davos, Ericsson dan Intel turut membincangkan satu kerjasama berterusan mengenai 5G dalam membina ekonomi digital yang mampan dan berdaya tahan.

“Banyak aplikasi pengguna baharu seperti permainan awan, serta perkhidmatan perusahaan termasuk kes penggunaan baharu untuk pendigitalan pelbagai industri, sudahpun mewujudkan peluang perniagaan yang besar.

“Kami bekerjasama dengan Intel untuk membolehkan keupayaan ini melalui kes penggunaan 5G yang berbeza di seluruh dunia,” jelas Ekholm.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *