Perbendaharaan AS mula mengambil langkah untuk mengelakkan kegagalan membayar hutang kerajaan, ketika Kongres menuju ke arah pertembungan berisiko tinggi antara Demokrat dan Republikan berhubung menaikkan had pinjaman negara.
“Langkah-langkah luar biasa” sedemikian boleh membantu mengurangkan jumlah hutang tertunggak tertakluk kepada had, yang kini ditetapkan pada AS$31.4 trilion (RM135.3 trilion).
Bagaimanapun Perbendaharaan memberi amaran bahawa alat itu hanya akan membantu untuk masa yang terhad, berkemungkinan tidak lebih daripada enam bulan.
“Saya dengan hormatnya menggesa Kongres bertindak segera untuk melindungi kepercayaan penuh dan kredit Amerika Syarikat,” kata Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dalam surat kepada kepimpinan Kongres semalam.
Beliau menambah terdapat “ketidakpastian yang besar” tentang berapa lama langkah itu boleh bertahan sebelum berisiko gagal.
“Kegagalan untuk memenuhi kewajipan kerajaan akan menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kepada ekonomi AS, mata pencarian semua rakyat Amerika, dan kestabilan kewangan global,” kata Yellen minggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JPMorgan Chase Jamie Dimon menyuarakan kebimbangan itu dalam satu wawancara bersama CNBC, dengan mengatakan “kita tidak sepatutnya mempersoalkan kelayakan kredit kerajaan Amerika Syarikat.”