imf-2

IMF Turunkan Prospek Pertumbuhan UK, Tambah Tekanan Ke Atas Menteri Kewangan Hunt

Britain adalah satu-satunya negara kumpulan G7 yang mengalami pengurangan prospek pertumbuhan ekonomi 2023 dalam unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diterbitkan hari ini.

Laporan itu menambah tekanan kepada menteri kewangan Britian, Jeremy Hunt untuk membuat rancangan belanjawannya.

Ekonomi Britain yang lesu kini kelihatan akan menyusut sebanyak 0.6 peratus pada 2023, penurunan mendadak daripada pertumbuhan yang dijangkakan sebanyak 0.3 peratus dalam ramalan terakhir IMF pada Oktober.

Semua ekonomi G7 lain diramalkan berkembang tahun ini, kebanyakannya pada kadar yang lebih kukuh daripada unjuran IMF tiga bulan lalu.

IMF berkata Britain akan bergelut dengan gabungan beberapa faktor termasuk cukai yang lebih tinggi yang diumumkan oleh Hunt lewat tahun lalu ketika beliau cuba memulihkan keyakinan pelabur selepas kegagalan “bajet mini” bekas perdana menteri Liz Truss pada September.

Britain juga terjejas teruk oleh lonjakan harga gas selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine kerana ia bergantung kepada sumber itu untuk kebanyakan penjanaan kuasanya dan ia juga menghadapi kekurangan pekerja yang menghalang ekonomi, kata IMF.

Kenaikan mendadak kadar faedah Bank Pusat England (BOE) untuk cuba menghapuskan risiko daripada lonjakan inflasi juga dilihat memberi kesan.

“Semua gabungan faktor ini membawa kepada pemberhentian aktiviti yang agak mendadak pada 2023,” kata Pierre-Olivier Gourinchas, ketua ekonomi IMF.

Britain adalah satu-satunya ekonomi dalam G7 yang belum pulih daripada paras pra-pandemiknya dengan Brexit secara meluas dilihat menjadi hambatan unik berbanding negara yang lain.

Menjawab laporan IMF, Hunt berkata hampir semua ekonomi maju menghadapi masalah, dan ramalan masa lalu tentang prospek Britian daripada pelbagai badan termasuk IMF telah terbukti terlalu suram.

“Cabaran jangka pendek tidak seharusnya mengaburkan prospek jangka panjang kita,” katanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *