Gelombang pemberhentian dalam sektor teknologi di Amerika Syarikat termasuk syarikat Meta Platforms Inc, Google dan Amazon telah mengubah kehidupan pekerja-pekerja asing terutamanya warga India yang berada di negara itu dengan visa H-1B yang dikhaskan untuk pekerjaan “berkemahiran tinggi”.
Di bawah syarat visa AS itu, pekerja asing yang diberhentikan berdepan prospek terpaksa meninggalkan negara dalam masa 60 hari melainkan mereka mampu mencari pekerjaan lain atau berjaya menukar status imigresen mereka.
Menurut Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen AS, warga India mewakili kira-kira 75 peratus pemegang visa khas daripada 407,000 petisyen yang diluluskan pada 2021.
Anggaran industri juga melaporkan bahawa mereka menyumbang sekitar satu pertiga daripada kira-kira 200,000 pekerjaan teknologi yang hilang di AS sepanjang tahun lalu.
Akibatnya, ribuan pekerja dari India telah melihat kehidupan mereka berubah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Bagi kebanyakan warga India yang telah mendapatkan visa tersebut, gelombang pemberhentian pekerjaan semasa ini akan menjadi pengalaman pertama mereka diberhentikan sejak mereka tiba di AS, kata Khanderao Kand, pengasas Persatuan Profesional Teknologi India Global (GITPRO), sebuah syarikat rangkaian dunia.
Beliau berkata orang ramai yang mencari bantuan sering berada dalam keadaan panik kerana mereka berdepan dengan kegelisahan untuk mencari pekerjaan baharu pada waktu yang semakin suntuk.
“Jadi mereka melalui trauma emosi, mempersoalkan apa yang berlaku. Ramai daripada mereka kehilangan satu atau dua minggu hanya dalam kejutan itu,” ujarnya.