svb-queue

SVB Kembali Beroperasi, CEO Baharu Gesa Pelanggan Untuk Letakkan Semula Deposit

Ketua Silicon Valley Bridge Bank, yang diwujudkan oleh badan pengawal selia Amerika Syarikat untuk mengambil alih aset dan operasi Silicon Valley Bank (SVB) menggesa pendeposit yang melarikan diri untuk kembali dengan wang mereka, kerana bank besar melihat kemasukan dana.

Silicon Valley Bank, pemberi pinjaman utama kepada syarikat pemula di seluruh AS sejak tahun 1980-an runtuh berikutan aliran keluar mendadak deposit sehingga memaksa pihak berkuasa mengambil alih kawalan pada Jumaat lalu.

“Perkara nombor satu yang boleh anda lakukan untuk menyokong masa depan institusi ini ialah membantu kami membina semula pangkalan deposit kami,” kata CEO baharu, Tim Mayopoulos dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan dua perkara boleh dilaksanakan oleh pelanggan, pertama meletakkan deposit dengan Silicon Valley Bridge Bank dan memindahkan balik deposit yang dikeluarkan sejak beberapa hari lalu.”

“Kami melakukan segala yang kami mampu untuk membina semula, memenangi semula keyakinan anda dan terus menyokong ekonomi inovasi,” tambah Mayopoulos.

Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan (FDIC) berkata bahawa ia akan melindungi semua pendeposit SVB, termasuk melebihi had biasa AS$250,000 di bawah perlindungan FDIC.

“Kami membuat pinjaman baharu dan menghormati sepenuhnya kemudahan kredit sedia ada,” kata Mayopoulos.

Kegagalan SVB pada Jumaat lalu merupakan kegagalan bank AS terbesar sejak 2008, didahului pembubaran Silvergate Bank pada hari Rabu, sebuah institusi serantau kecil yang menjadi pilihan komuniti mata wang kripto.

Pihak berkuasa juga memaksa Signature Bank, bank ke-21 terbesar negara menutup operasinya pada Ahad lalu.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *