Penapis minyak ketiga terbesar Jepun, Cosmo Energy Holdings Co Ltd, akan membuat pelaburan sebanyak 420 bilion yen (AS$3.2 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan 30 peratus akan diperuntukkan dalam tenaga hijau dan tenaga seperti bahan api penerbangan mampan (SAF).
Di bawah pelan perniagaan tiga tahun baharu bermula bulan hadapan, 100 bilion yen akan dibelanjakan untuk rantaian bekalan elektrik hijau, termasuk 83 bilion yen untuk tenaga angin.
Sementara itu, 40 bilion yen akan digunakan untuk tenaga generasi akan datang, termasuk 25 bilion yen pada SAF.
“Kami menjangkakan permintaan domestik untuk produk petroleum akan terus jatuh 2-3 peratus setahun,” kata Shigeru Yamada, pegawai eksekutif kanan Cosmo kepada sidang media.
“Kadar penurunan permintaan petrol akan semakin cepat dari sekitar 2030 berikutan perkembangan pesat kenderaan elektrik,” tambah beliau.
“Jadi kami meningkatkan perbelanjaan kami dalam kuasa hijau dan tenaga,” jelas Yamada, yang akan menjadi presiden mulai 1 April.
Bagaimanapun, Cosmo tetap merancang untuk melabur 280 bilion yen dalam perniagaan minyak utamanya, termasuk pembangunan minyak dan petrokimia.
Pada tahun hingga Mac 2026, Cosmo menyasarkan untuk meningkatkan keuntungan berulangnya kepada 165 bilion yen, tidak termasuk kesan penilaian inventori, meningkat daripada jangkaan 140 bilion yen untuk tahun semasa.