Kecurian peralatan jejas sasaran siap projek ECRL

Aina Julia
5 Min Read

Sasaran untuk menyiapkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjelang Disember tahun hadapan kini berdepan cabaran tidak dijangka. Dimana terdapat laporan berkenaan kes kecurian peralatan isyarat dan kabel komunikasi di kawasan pembinaan rel projek tersebut.

Para kontraktor kini perlu menangani kehilangan lebih 1,200 meter kabel isyarat serta 81 unit pencawang luar yang dilaporkan dicuri di sepanjang jajaran projek. Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd memaklumkan bahawa pencuri menggunakan peralatan pemotongan tidak profesional dan turut membawa kenderaan untuk memudahkan kerja mereka.

Walaupun kecurian kabel bukanlah isu baharu dalam industri, insiden ini amat membimbangkan kerana kabel dan pencawang tersebut dibuat khas (custom-made) dan mengambil masa sehingga enam bulan untuk diganti.

Projek ECRL sepanjang 665km yang menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur dijadualkan siap pada Disember 2025, dan akan mengangkut penumpang serta kargo dengan kelajuan sehingga 160km/j bagi tren penumpang dan 80km/j bagi tren kargo.

Sehingga kini, projek yang bermula pada 2017 itu telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 82.45%. MRL merupakan entiti khas yang bertanggungjawab melaksanakan projek ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata sekurang-kurangnya dua kes kecurian telah dikenal pasti berlaku di sepanjang jajaran ECRL. “Kecurian ini boleh menjejaskan jadual penyerahan projek. Kami amat menantikan fasa ujian dan pentauliahan pada Jun tahun hadapan,” katanya.

Laluan dan senarai stesen di sepanjang projek ECRL yang sedang dibina.

Sejak pemasangan sistem Komunikasi, Maklumat dan Isyarat (CIS) dimulakan di Stesen KotaSAS, Pahang pada Mac lalu, tujuh lokasi telah mengalami kecurian. Ini termasuk di Paya Besar, Cherating dan Kuantan Port City, Chukai, Dungun, Kemasik serta Pasir Puteh.

Di kawasan berhampiran Stesen KotaSAS, kontraktor China Communications Construction ECRL Project (CCCC-ECRL) menemui kabel gentian optik yang ditinggalkan selepas dipotong. Ini dipercayai kerana tiada nilai logam untuk dijual sebagai besi buruk. Namun, kabel isyarat sepanjang 1,200 meter yang dicuri mengandungi bahan logam.

Datuk Seri Darwis berkata MRL akan bertemu ketua polis negeri untuk membincangkan langkah perlindungan aset secara menyeluruh dan juga akan membawa isu ini kepada perhatian menteri-menteri berkaitan.

Menurut pemerhati, perlindungan aset di tepi landasan bukanlah sesuatu yang mudah kerana kabel biasanya diletakkan dalam saluran konkrit dan pencuri hanya perlu membuka penutupnya untuk mendapatkan akses.

Darwis menegaskan bahawa kerugian akibat kecurian akan ditanggung oleh CCCC-ECRL kerana projek masih belum diserahkan kepada kerajaan. “Namun begitu, sebagai pemilik projek, kami juga akan memainkan peranan untuk menangani isu ini. Pasukan projek ECRL kini bekerjasama dengan pihak polis untuk memantau pergerakan pengumpul besi buruk dan kitar semula,” katanya.

Tambah beliau, pengawal keselamatan telah dilantik untuk meronda kawasan terlibat dan kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di lokasi kritikal. Bagaimanapun, kawalan penuh amat sukar memandangkan panjang jajaran tersebut. Bahagian jajaran yang terdedah akan dipagarkan secara berperingkat.

“Dalam masa yang sama, kami mohon kerjasama orang ramai untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang dilihat di sepanjang laluan ECRL,” katanya.

Bekas ketua Bahagian Rel Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Yuslizar Daud berkata, kes kecurian seperti ini memang sukar dibendung. “Ia berlaku di seluruh dunia. Di United Kingdom, Network Rail kerugian hampir £20 juta (RM114.4 juta) setahun akibat kecurian kabel,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa sindiket pencuri di Malaysia sangat terancang, mempunyai rangkaian yang luas, dan sentiasa selangkah ke hadapan berbanding pengendali. Satu-satunya cara yang berkesan menurut beliau ialah semua pengendali rel bekerjasama dan berkongsi maklumat risikan, sumber serta data.

Pengarah Urusan CCCC-ECRL, Deng Bo, pula berkata bahawa di China, kecurian atau vandalisme infrastruktur rel merupakan jenayah berat kerana ia mengancam keselamatan operasi kereta api dan keselamatan awam.

Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa jika kecurian peralatan ini berterusan, Malaysia bakal menanggung separuh daripada kerugian operasi apabila perkhidmatan tren dimulakan pada awal 2027.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *