ecb2

Ketua Ekonomi ECB: Sekarang Bukan Masa Sesuai Untuk Hentikan Kenaikan Kadar Faedah

Ketua ekonomi Bank Pusat Eropah hari ini berkata sekarang “bukan masa yang sesuai” untuk menamatkan kenaikan kadar faedah, walaupun inflasi di zon euro semakin mereda.

ECB telah menaikkan kadar sebanyak 3.5 mata peratusan sejak Julai tahun lalu dalam kempen pengetatan monetari yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk mengawal harga pengguna yang melambung tinggi.

Dengan berlatarbelakangkan inflasi yang semakin perlahan, mesyuarat pada 4 Mei ini akan menjadi tumpuan untuk melihat sama ada para penggubal dasar akan mengumumkan kenaikan baharu dan sejauh mana ia akan diteruskan.

Data semasa “menunjukkan bahawa kita harus menaikkan lagi kadar faedah”, kata ketua ekonomi ECB Philip Lane.

“Sekarang masih bukan masa yang sesuai untuk berhenti,” katanya dalam temu bual yang diterbitkan di laman web ECB.

Pada Mac lalu, harga pengguna di zon euro tahun ke tahun meningkat sebanyak 6.9 peratus, angka tahunan terendah dan jauh di bawah paras tertinggi 10.6 peratus pada Oktober tahun lalu.

Lane berkata penurunan “ketara” itu “disambut baik, kerana ia mengurangkan tekanan ke atas kos sara hidup”.

Namun begitu, adalah penting untuk kembali kepada sasaran inflasi ECB sebanyak dua peratus “dalam tempoh masa yang munasabah”, tegasnya.

Ahli lembaga ECB Isabel Schnabel hari ini juga mencadangkan bahawa bank pusat akan menaikkan kadar faedah selanjutnya.

“Saya mengatakan adalah jelas bahawa kenaikan kadar selanjutnya diperlukan, namun saiz kenaikan akan bergantung pada data yang diterima,” katanya.

Bergantung pada data, kenaikan sebanyak 50 mata asas “tidak di luar jadual”, jelas Schnabel.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *