Ringgit mungkin boleh mencapai RM4.10 untuk setiap satu US Dollar

Boboi CTC
2 Min Read

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS semalam,disokong oleh kelemahan Indeks Dolar AS (DXY) yang susut 0.71 peratus kepada 100.376. Ini adalah susulan penurunan penarafan kredit kedaulatan kerajaan Amerika Syarikat.

Pada jam 6 petang semalam, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2870/2945 berbanding dolar AS, berbanding paras penutupan Jumaat lalu iaitu 4.2900/2980.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan DXY berpunca daripada langkah populis pentadbiran Presiden Donald Trump. Ianya dilihat boleh menjejaskan keupayaan kerajaan AS untuk menangani defisit bajet yang semakin melebar dan beban hutang yang meningkat.

“Walaupun agensi Moody’s mengekalkan penilaian terhadap status istimewa dolar AS sebagai mata wang rizab global, kejutan tarif semasa mungkin menyebabkan pedagang dan pelabur menilai semula kedudukan itu.

“Namun, ini adalah isu struktur yang mungkin memerlukan jangka masa lebih panjang untuk diselesaikan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata dolar AS kelihatan agak tertekan walaupun ketidaktentuan ekonomi meningkat yang kebiasaannya menyebabkan dolar AS mengukuh dengan ketara.

Pada penutupan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.9596/9650 daripada 2.9470/9527 pada Jumaat lalu. Lemah berbanding euro kepada 4.8344/8429 daripada 4.8022/8112. Ia juga turun berbanding pound Britain kepada 5.7420/7521 daripada 5.7018/7125 sebelumnya.

Ringgit turut menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang serantau ASEAN.

Ia mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.71 daripada 7.71/7.73, namun lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3135/3195 daripada 3.3041/3105, serta susut berbanding baht Thailand kepada 12.9630/9924 daripada 12.9003/9318.

Ringgit kekal tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 260.8/261.4 berbanding 260.8/261.5 sebelum ini.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *